Sasaran Manifesto PH, 30,000 pekerjaan bukan janji kosong, disokong projek yang sedang berjalan – Tengku Zafrul

SEREMBAN – Sasaran mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar angka yang ditetapkan untuk menarik perhatian pengundi, sebaliknya disandarkan kepada beberapa projek pembangunan yang telah dikenal pasti dan sedang dilaksanakan.

Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan unjuran projek-projek utama yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menurut beliau, antara projek yang dijangka menjadi penyumbang utama ialah pembangunan Midport di Pasir Panjang yang dianggarkan mampu mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan.

Selain itu, pembangunan Seremban Sentral dijangka menawarkan sekitar 2,500 peluang pekerjaan, manakala Vision Business Park pula berpotensi menyediakan kira-kira 15,000 pekerjaan baharu.

“Kalau kita lihat daripada tiga projek ini sahaja, kita sudah ada sekitar 22,500 pekerjaan,” katanya dalam wawancara khas *Mandat Negeri Sembilan* bersama Suara TV.

Beliau berkata, baki sasaran pekerjaan dijangka dipenuhi menerusi pelaksanaan projek-projek pembangunan lain serta kemasukan pelaburan baharu yang sedang dirancang kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul menegaskan kerajaan tidak hanya mengejar jumlah pekerjaan semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada kualiti pekerjaan yang diwujudkan.

Katanya, peluang pekerjaan yang ditawarkan perlu memberikan pendapatan yang lebih baik kepada rakyat, khususnya golongan muda yang baru memasuki pasaran kerja.

“Kita bukan hanya mengejar jumlah pekerjaan. Kita kena pastikan pekerjaan ini juga pekerjaan yang berkualiti dari segi gaji. Kita tak nak anak-anak kita dapat kerja tetapi gajinya tidak tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata usaha menarik pelaburan akan terus memberi fokus kepada industri berteknologi tinggi dan sektor yang mempunyai nilai tambah tinggi supaya mampu menawarkan pekerjaan berkemahiran serta bergaji lebih kompetitif.

Menurut beliau, pendekatan tersebut selari dengan strategi pembangunan ekonomi Negeri Sembilan yang kini semakin memberi tumpuan kepada pelaburan berasaskan teknologi, inovasi dan industri bernilai tinggi.

Beliau berkata, pencapaian pelaburan negeri yang mencecah RM19 bilion tahun lalu menunjukkan Negeri Sembilan semakin diyakini pelabur, sekali gus menjadi asas kukuh untuk merealisasikan sasaran peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam manifesto PH.

Tambah beliau, penciptaan pekerjaan berkualiti bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan isi rumah, malah membantu mengekalkan tenaga mahir dalam negeri dan mengurangkan penghijrahan bakat ke kawasan lain.

Katanya, kejayaan menarik industri berteknologi tinggi juga akan memberi limpahan kepada perusahaan tempatan melalui rantaian bekalan, selain merancakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan secara menyeluruh.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat