Pandora Papers: Tidak Salah Buka Akaun Luar Pesisir – Menteri Kewangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan mana-mana individu boleh membuka akaun dengan bank berlesen termasuk akaun luar pesisir, namun mereka perlu lulus proses usaha wajar pelanggan seperti disyaratkan dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Menurutnya, ketika ini, sektor kewangan Malaysia diselia Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759).

Beliau berkata, aktiviti kewangan luar pesisir pula dikawal selia Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) melalui penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Kewangan Dan Sekuriti Labuan 2010 (Akta 704) serta Akta Perkhidmatan Kewangan Dan Sekuriti Islam Labuan 2010 (Akta 705).

“Mengikut undang-undang sedia ada, mana-mana individu boleh membuka akaun dengan bank berlesen termasuk akaun luar pesisir, tetapi semua pelanggan yang membuka akaun di bank berlesen dikawal selia oleh BNM atau akaun di bank luar pesisir dikawal selia Labuan FSA perlu lulus proses usaha wajar pelanggan seperti disyaratkan Akta 613 dan juga perlindungan subsidiari,” katanya menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Guan Eng membangkitkan persoalan laporan Pandora Papers yang mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang serta pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kementerian mengingatkan penyiasatan yang dibuat Konsortium Antarabangsa bagi Wartawan Penyiasatan (ICIJ), membabitkan kebocoran rekod sulit 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang memberi perkhidmatan profesional kepada individu atau syarikat.

“Ini untuk menubuhkan syarikat, yayasan atau entiti lain yang membuka akaun di negara yang mempunyai kelemahan dalam perundangan kewangan, tetapi kita bukan antara negara yang lemah itu,” katanya memetik BH.

Menjawab soalan asal Guan Eng mengenai perbelanjaan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata, kerajaan menyasar unjuran defisit adalah 5.4 peratus, namun kerajaan sudah mengambil pendirian dasar fiskal yang mengembang dalam mengatasi krisis COVID-19.

“Jadi, defisit pada tahun ini dijangka mencecah antara 6.5 hingga 7 peratus. Setakat 15 September lalu, daripada peruntukan RM322.5 bilion di bawah Belanjawan 2021, RM216 bilion atau lebih 66 peratus sudah dibelanjakan seperti dirancang.

“Selain itu, kerajaan juga mengumumkan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang merangkumi kedua-dua langkah fiskal dan bukan fiskal. Pemantauan setakat 24 September lalu, lebih RM330 bilion atau 62 peratus sudah dilaksanakan, memanfaatkan 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan,” katanya.

Menyentuh langkah fiskal kerajaan, beliau berkata, RM63 bilion peruntukan disalurkan membabitkan RM33 bilion kepada golongan memerlukan dan RM30 bilion lagi untuk perniagaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat