KUALA LUMPUR – Penyelaras Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menegaskan bahawa mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak akan dikhianati dalam proses pembentukan kerajaan negeri.
Beliau berkata semua pihak perlu bertenang dan memberi ruang kepada proses pelantikan Menteri Besar serta pembentukan kerajaan diselesaikan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan amalan pemerintahan adat negeri itu.
“Tahniah kepada Datuk Ismail Lasim kerana terpilih menjadi Menteri Besar, namun perlu diingatkan proses pelantikan belum selesai. Ia bukan sekadar acara angkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Besar, malah memerlukan perkenan Datuk-Datuk Undang Yang Empat sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Chegubard mendakwa kegagalan kerajaan terdahulu mengurus isu berkaitan institusi adat menjadi antara faktor utama Pakatan Harapan (PH) ditolak oleh rakyat pada PRN lalu.
Beliau berharap kerajaan baharu yang dibentuk oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak mengulangi kesilapan sama serta menghormati sistem pemerintahan adat Negeri Sembilan.
Pada masa sama, beliau berkata Umno sebagai parti terbesar yang menerima mandat rakyat perlu diberikan ruang menyelesaikan proses pembentukan kerajaan, manakala PN sebagai rakan pembentuk kerajaan juga wajar dilibatkan dalam setiap keputusan.
Mengulas dakwaan wujud usaha membawa PH menyertai kerajaan negeri, Chegubard berkata terdapat maklumat mengenai usaha tersebut, namun mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi.
“Mandat dan harapan rakyat tidak akan dikhianati. Apa yang lebih penting ialah membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil demi kepentingan seluruh anak Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Wawasan Negara Negeri Sembilan sedang mengikuti rapat perkembangan semasa dan mendakwa terlibat di beberapa peringkat dalam mengurus isu-isu berbangkit berkaitan pembentukan kerajaan negeri.
Chegubard turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi, jentera pilihan raya dan semua pihak yang menjayakan PRN Negeri Sembilan, sambil berharap kerajaan baharu dapat dibentuk segera bagi memastikan pentadbiran negeri kembali stabil.



