KUALA LUMPUR – Orang ramai sekarang boleh belajar bahasa Arab terus di Madinah, Arab Saudi di Universiti Islam Madinah serta mendapat sijil dan dapat menghabiskan masa di sana termasuk boleh menunaikan umrah.
Sebuah syarikat bernama Nafaz Nur menjalinkan satu kerjasama dengan universiti berkenaan untuk menganjurkan pengalaman pengajian Program 30 Hari Bahasa Arab di Madinah untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari bahasa syurga itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Nafaz Nur, Aishah Radhiah Adanan berkata dalam program berkenaan bukan sahaja pelajar akan belajar Bahasa Arab tetapi akan menghayati sirah Nabi Muhammad SAW, pengalaman budaya dan ibadah umrah dalam satu pakej.
“Sepanjang tempoh program, para peserta akan mengikuti kelas Bahasa Arab selama tiga jam setiap hari di dalam kampus Universiti Islam Madinah, dipimpin oleh tenaga pengajar universiti dalam persekitaran akademik bertaraf antarabangsa.
“Pada setiap petang, peserta akan dibawa menyusuri tapak-tapak sirah Rasulullah SAW bagi menghayati sejarah perjuangan Islam secara langsung di lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Madinah,” katanya kepada Suara TV.
Menurut beliau, pada hujung minggu peserta akan dibawa melawat ke tempat menarik di Arab Saudi bagi memperkayakan pengetahuan tentang budaya dan negara Arab Saudi.
“Selepas menamatkan pengajian di Madinah, para peserta akan meneruskan perjalanan ke Makkah untuk menunaikan ibadah umrah sebelum pulang ke Malaysia,” katanya.
Para pelajar yang mengikuti program ini akan menerima sijil rasmi yang dikeluarkan oleh Universiti Islam Madinah.
Aishah Radhiah berkata program unik ini adalah untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mempelajari bahasa Arab bukan di Malaysia tetapi di Madinah sendiri.
“Kami mahu melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang bukan sahaja mampu bertutur dalam Bahasa Arab, malah memahami al-Quran, hadis dan khazanah ilmu Islam dalam bahasa asalnya,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Nafaz Nur, Muhammad Yasser Abdul Manaf, berkata program ini bukan sekadar menawarkan pembelajaran bahasa, tetapi membina satu ekosistem pendidikan yang menggabungkan ilmu, pengalaman dan jaringan antarabangsa.
“Melalui kerjasama rasmi ini, kami berharap lebih ramai guru, pensyarah, pelajar, profesional dan masyarakat umum dapat memanfaatkan peluang pembelajaran bertaraf antarabangsa yang sebelum ini sukar diakses,” katanya.



