Ramadan bawa rezeki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedatangan Ramadan memberi seribu rahmat bukan sahaja dari sudut keberkatan, malah dikurniakan rezeki.

Bagi kebanyakan penyanyi nasyid, inilah waktu untuk ‘buat duit’ apabila sibuk memenuhi undangan nyanyian di hotel mahupun majlis berbuka puasa.

Sering kali irama nasyid kontemporari menjadi pilihan halwa telinga tatkala menikmati juadah berbuka. Selain itu, dalam berhibur dapat juga mengambil keberkatan mengimarahkan bulan mulia bersama peminat.

Namun, penyanyi nasyid dikatakan hanya akan menonjolkan diri pada Ramadan. Bagaimana baki 11 bulan lagi, adakah mereka dipinggirkan atau tidak mendapat perhatian seperti bulan puasa?

Anggota kumpulan Nowseeheart, Idzhar Jumali, berkata isu berkenaan berbalik kepada seseorang dalam mencari pengisian ketika Ramadan.

“Pengisian ada dalam lagu dakwah dan berentak kerohanian. Kita tahu lagu bergenre ini sarat dengan mesej dan peringatan, jadi kesesuaian lebih pada bulan Ramadan.

“Saya percaya artis dan penyanyi nasyid ada sahaja memenuhi undangan persembahan pada bulan biasa. Cuma, bulan Ramadan dianggap ada banyak kelebihan berbanding bulan lain.

“Kita sudah tentu mahu mencari kebaikan dan mengumpul pahala pada bulan Ramadan,” katanya kepada HIP.

Penyanyi utama kumpulan Saujana, Mohammad Suffian Amrin, berkata penyanyi nasyid menjadi pilihan dalam memeriahkan program membabitkan hari tertentu.

“Ikutkan bulan lain ada sahaja program keagamaan termasuklah Majlis Tilawah al-Quran dan sebagainya.

“Mungkin kelihatan sepi kerana tiada promosi atau pendedahan dalam media. Namun, tetap ada majlis tertutup dihadiri.

“Diakui, penyanyi nasyid lebih menyerlah pada bulan Ramadan. Bagi saya, ia umpama refleksi hidup apabila kami diberi peluang menyantuni umat Islam yang mengejar dan berlumba-lumba melipat gandakan pahala pada bulan ini,” katanya.

Anggota kumpulan InTeam, Muhammad Hazamin Harun, berharap penganjur sentiasa memberi ruang kepada penyanyi nasyid tidak hanya pada Ramadan atau setiap Jumaat semata-mata.

“Boleh dikatakan setiap bulan ada jemputan sekiranya mengimarahkan bulan kebesaran.

“Kami bersyukur selepas dua tahun melalui fasa pandemik COVID-19, pengisian dakwah dan berbentuk kerohanian menerusi hotel dan premis berbuka puasa dapat kembali diteruskan tahun ini. Kita pun sudah masuk fasa endemik.

“Saya harap penganjur acara tidak membataskan genre nasyid, mahupun kerohanian sebagai pilihan pada bulan puasa atau hari Jumaat. Hari lain pun perlu ada pengisian yang sama,” kata Hazamin.

 

Kumpulan InTeam berharap penganjur sentiasa memberi ruang kepada penyanyi nasyid tidak hanya pada Ramadan atau setiap Jumaat semata-mata. - Foto Owee Ah Chun
Kumpulan InTeam berharap penganjur sentiasa memberi ruang kepada penyanyi nasyid tidak hanya pada Ramadan atau setiap Jumaat semata-mata. – Foto Owee Ah Chun

 

Bagi anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam, beliau percaya seiring dengan konsep penyampaian artis nasyid seperti lagu yang diperjuangkan memberi kelebihan menjadi pilihan pada Ramadan.

“Dalam lirik lagu nasyid berunsur keagamaan, kerohanian, Ramadan, Lailatulqadar, selawat dan sebagainya. Jadi, ia dikitar semula atau sesekali dihasilkan lagu baharu.

“Artis komersial akan mengisi slot persembahan contohnya seperti Minggu Setiausaha. Jika ikutkan Hijjaz pun mempunyai tawaran persembahan, tetapi tak dihebahkan.

“Cuma artis popular turut diundang menjayakan persembahan di kaca televisyen (TV) untuk berzikir, solat raya dan sebagainya,” kata Isman.

Juara Anugerah Nasyid 2015, Daqmie atau Azmee Abdul Manap, berkata kriteria yang ada kepada penyanyi nasyid memberi nilai tambah menyemarakkan bulan puasa.

“Tiada kurangnya penyanyi nasyid, semuanya sudah ada rezeki yang ditetapkan.

“Namun, kelebihan mungkin dilihat tepat pada penyanyi nasyid apabila tiba Ramadan. Penyanyi komersil bukan tidak sesuai, tetapi dilihat umum.

“Perjuangan penyanyi nasyid seperti kami ini bukan dilihat kepada usaha, tetapi hasil. Rezeki jika dapat hasilnya segera. Nabi Muhammad pun mengambil masa untuk berdakwah,” katanya.

Sepanjang Ramadan, beberapa penyanyi dan kumpulan nasyid turut menyerikan bufet Ramadan 1001 malam di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ia termasuklah Afad Raihan, Rabbani, Simfoni dan Fitri Haris.

Turut serta, kuliah ‘kultum’ oleh Ustaz Dr Ashraf Suarin. Acara berbuka puasa juga disusuli dengan solat maghrib berjemaah dan bertarawih diketuai artis nasyid berkenaan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat