Warung Pak Jabit penampilan terakhir Mamat Khalid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerinduan terhadap pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid bakal terubat apabila kelibat figura itu ditampilkan dalam program berkonsep masakan berjudul Warung Pak Jabit.

Mengulas pembikinan program yang menjadi naskhah terakhir arwah Mamat sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung, Oktober tahun lalu, anaknya, Mohd Khalid Amen atau Amen memberitahu, idea dicetus oleh arwah berikutan mahu berkongsi menu tradisional yang menjadi kegemarannya.

“Ketika bersembang, arwah beritahu keinginannya menghasilkan program ini bertujuan menghiburkan penonton. Arwah suka nak tunjuk makanan kegemarannya dan apa yang menjadi minatnya.

“Program Warung Pak Jabit mempunyai tiga segmen. Antaranya, segmen resipi masakan tradisi yang disediakan oleh abang saya, Adam. Bukan sahaja berkongsi resipi, tetapi juga teknik yang menggunakan kaedah tradisional.

“Proses pembikinan program ini dibuat dengan cukup pantas, dua minggu untuk sesi lampias otak. Penggambaran dilakukan pada September dan disambung selepas arwah menghembuskan nafas terakhir.

“Walaupun arwah tak sempat menyaksikan program ini, tetapi sebagai anak, saya gembira dapat menunaikan hasratnya melihat program ini diterbitkan,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Ramadan Astro 2022, baru-baru ini.

Selain memperkenalkan resipi tradisional yang semakin dilupakan, program Warung Pak Jabit turut mempunyai elemen komedi dengan menampilkan watak popular yang pernah muncul dalam karya arwah Mamat.

Program Warung Pak Jabit menjadi antara program yang mengisi senarai Kempen Ramadan Raya 2022 siaran Astro, tahun ini.

Ia bakal disiarkan di saluran Astro Ria dan platform digital, Gempak mulai 11 April ini.

 

Sebagai anak, Amen gembira dapat menunaikan hasrat arwah bapanya, Mamat Khalid yang mahu melihat program Warung Pak Jabit diterbitkan. - Foto Rohanis Shukri
Sebagai anak, Amen gembira dapat menunaikan hasrat arwah bapanya, Mamat Khalid yang mahu melihat program Warung Pak Jabit diterbitkan. – Foto Rohanis Shukri

 

Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi, berkata Astro menjadikan drama bersiri sebagai taruhan.

“Tiga drama iaitu Dendam Seorang Isteri, Jangan Menangis Cinta dan mini siri, Nusyuz Berkiblat Cinta. Drama ini membariskan pelakon hebat seperti Fasha Sandha, Nad Zainal, Amyra Rosli, Emma Maembong, Fikry Ibrahim dan Nadhir Nasar.

“Meskipun tiga drama ini tidak memaparkan suasana Ramadan, namun pengisian dan mesej yang hendak disampaikan mempunyai semangat Ramadan seperti elemen kemaafan serta hikmah di sebalik cabaran dihadapi seperti dipaparkan dalam drama,” jelasnya.

Memilih tema Semangat Lebaran Kita bagi memeriahkan platform televisyen, radio dan pelantar digital, Azlin berkata, ia menterjemahkan perasaan seluruh umat islam di Malaysia yang dapat meraikan bulan mulia bersama keluarga tersayang selepas dua tahun terkurung akibat penularan pandemik COVID-19.

“Tema ini dipilih sebagai Kempen Ramadan Raya 2022 bersesuaian dengan transisi dalam peralihan ke fasa baharu untuk bangkit dan pulih dari ancaman pandemik,” ujar Azlin.

Sementara itu, Ketua Kandungan Studio Astro, Syazwan Zakariah, berkata elemen Ramadan masih boleh disaksikan menerusi drama komedi, Nasi Beriani Gam Kak Aspalela yang bersiaran di pelantar Gempak dan saluran Ria sejak 30 Mac ini.

“Meskipun bukanlah berkonsepkan Ramadan secara keseluruhan, namun garis masa yang dipaparkan merangkumi bulan puasa dan hari raya,” jelas Syazwan.

Turut mengisi senarai program adalah rancangan berkonsepkan agama seperti Rockstar ke Masjid, Tazkirah Malam Jumaat dan Geng Ngaji.

Bersesuaian dengan pelbagai menu istimewa pada Ramadan, program berkaitan yang bakal menemui penonton adalah Kembara Chef Wan, yang berkisar kepada pengembaraan chef selebriti popular itu ke Timur Tengah untuk menerokai keindahan dunia makanan.

Program lain termasuklah Kelentang Kelentung Pom Pom kendalian artis serba boleh, Elly Mazlein yang ditugaskan untuk melawat destinasi makanan viral tempatan dan memasak juadah istimewa buka puasa bersama selebriti jemputan.

Majlis itu turut memperkenalkan wajah duta Kempen Raya Ramadan 2022 iaitu Danial Zaini, Erissa Puteri, Nadhir Nasar, Wafiy Ilham, Wani Kayrie serta watak animasi popular, Upin & Ipin.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat