KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan ejen, antara pihak yang diberikan tumpuan susulan siasatan berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, satu kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat urusan pemindahan tiga gajah berkenaan yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
Menurut SPRM, siasatan turut menjurus kepada dakwaan ketirisan dan meneliti sama ada wujud unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam urusan pemindahan haiwan berkenaan.
“Pada 18 Jun lalu, pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) menggesa SPRM menjalankan siasatan terhadap isu pemindahan DAK.
“Pertubuhan berkenaan turut mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan tersebut yang tidak disalurkan kepada kerajaan selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi dianggarkan bernilai RM53 juta,” katanya pada Isnin.
Katanya, susulan itu, SPRM turut menyiasat berhubung dakwaan ketirisan tersebut dan meneliti sama ada wujud sebarang unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam urusan berkenaan.
SPRM berkata, siasatan ketika ini masih berada di peringkat awal dan sedang dijalankan secara menyeluruh bagi mendapatkan fakta serta keterangan berkaitan.
Menurut suruhanjaya itu, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan sedang berlangsung.
“SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa sekiranya terdapat bukti yang mencukupi untuk tindakan lanjut,” katanya lapor Sinar Harian di Putrajaya pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan kumpulan hak hidupan liar, pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) menggesa SPRM menjalankan siasatan berhubung pemindahan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat ke sebuah zoo di Osaka, Jepun.
Hidup mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan berkenaan yang tidak disalurkan kepada kerajaan, selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi bernilai RM53 juta.


