Siikat Natural Headspa buka sayap di Kuala Lumpur, angkat keindahan rambut wanita dalam ruang eksklusif

Di sebalik sehelai tudung yang tersarung kemas, tersimpan mahkota paling berharga buat seorang wanita, iaitu rambut. Walaupun sering terlindung daripada pandangan umum, rambut tetap memerlukan perhatian dan penjagaan yang rapi. Menyedari hakikat itu, Siikat Natural Headspa tampil membawa pendekatan berbeza dalam dunia kecantikan apabila membuka cawangan baharunya di Desa Sri Hartamas, sekali gus menjadi cawangan pertama jenama tersebut di Kuala Lumpur.

Pembukaan cawangan kelima ini bukan sekadar menandakan perkembangan sebuah perniagaan, tetapi turut membawa kisah inspirasi tentang keberanian seorang wanita meninggalkan zon selesa demi mengejar impian yang lebih besar.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Siikat Natural Headspa, Siti Nur Rahmah, idea menubuhkan Siikat lahir daripada pengalaman peribadinya sendiri sebagai seorang wanita berhijab yang sukar mencari pusat penjagaan rambut yang benar-benar memahami keperluan muslimah.

Berbekalkan pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia korporat, khususnya dalam industri minyak dan gas, Pn Rahmah mengakui beliau sentiasa mempunyai minat mendalam terhadap dunia keusahawanan. Apa yang bermula sebagai pekerjaan sampingan akhirnya berkembang menjadi sebuah jenama yang kini semakin mendapat tempat di hati ramai wanita.

“Saya seorang yang suka mencuba pelbagai perkara. Daripada menghasilkan produk sendiri sehinggalah mendalami ilmu terapi dan penjagaan semula jadi, semuanya bermula kerana saya mahu mengawal apa yang digunakan pada tubuh sendiri,” katanya.

Minat tersebut mendorong beliau mengikuti pelbagai kursus berkaitan formulasi organik serta terapi semula jadi, termasuk menghadiri kelas di dalam dan luar negara bagi menambah ilmu.

Namun, di sebalik perjalanan itu, beliau menyedari masih wujud kekosongan dalam industri kecantikan tempatan.

“Saya suka pergi ke salon kerana rasa segar selepas rambut dicuci memang sukar digambarkan. Tetapi sebagai muslimah, saya sering berdepan isu privasi. Ada tempat yang mendakwa mesra muslimah, namun hakikatnya tidak benar-benar memahami keperluan kami,” ujarnya.

Daripada pemerhatian itulah lahirnya Siikat, sebuah ruang eksklusif khusus untuk wanita yang bukan sahaja mengutamakan privasi, malah turut menitikberatkan penggunaan bahan semula jadi serta sentuhan terapi berasaskan kesejahteraan menyeluruh.

Bermula dengan hanya dua katil rawatan di Bangi menggunakan modal sendiri, Siikat kini berkembang kepada lima cawangan termasuk di Bangi, Semenyih, Setia Alam, Kajang dan terbaru di Desa Sri Hartamas.

Menariknya, Pn Rahmah sendiri bertanggungjawab dalam mereka bentuk konsep dalaman setiap cawangan. Inspirasi yang lahir daripada minat peribadinya diterjemahkan menjadi ruang yang tenang, nyaman dan mendamaikan, seolah-olah mengajak setiap pelanggan berhenti sejenak daripada kesibukan hidup untuk memberi ruang kepada diri sendiri.

Bagi Pn Rahmah, penjagaan rambut tidak seharusnya dilihat sekadar rutin kecantikan semata-mata. Rambut adalah mahkota wanita yang menyimpan seribu cerita daripada perubahan hormon selepas melahirkan anak, tekanan kehidupan seharian sehinggalah cabaran yang dihadapi oleh wanita berhijab.

“Ramai wanita datang dengan masalah rambut gugur, kelemumur, kulit kepala sensitif atau keguguran rambut selepas bersalin. Ada juga yang mengalami tekanan sehingga menjejaskan kesihatan rambut. Sebab itu kami mahu menawarkan lebih daripada sekadar rawatan biasa,” katanya.

Justeru, rawatan kepala atau head spa menjadi identiti utama Siikat. Gabungan sentuhan terapi tradisional, bahan semula jadi dan teknik rawatan moden yang tidak invasif menjadikan pengalaman di Siikat sesuatu yang cukup berbeza.

Selain rawatan rambut, Siikat turut menawarkan pelbagai perkhidmatan lain seperti rawatan wajah, urutan, sauna, jakuzi serta terapi berasaskan minyak pati. Kesemua rawatan dilaksanakan dengan pendekatan lembut dan semula jadi tanpa penggunaan prosedur yang agresif.

Menariknya lagi, kejayaan Siikat turut memperlihatkan bagaimana kepimpinan wanita mampu mencipta perubahan besar dalam dunia perniagaan. Di bawah pimpinan Pn Rahmah, Siikat bukan sahaja berkembang sebagai sebuah jenama kecantikan, malah turut menjadi platform memperkasakan wanita melalui peluang pekerjaan, latihan dan pembangunan kemahiran.

Beliau percaya wanita mempunyai kekuatan luar biasa untuk memimpin, asalkan diberikan ruang dan peluang yang sewajarnya.

“Sebagai usahawan wanita, cabarannya memang banyak. Tetapi saya percaya setiap cabaran adalah ruang untuk belajar dan menjadi lebih baik. Saya mahu Siikat menjadi tempat yang bukan sahaja memberi perkhidmatan, tetapi juga membina komuniti wanita yang saling menyokong,” katanya.

Bagi memastikan industri ini terus berkembang, Siikat turut menubuhkan akademi latihan sendiri di Kajang bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang terapi dan penjagaan diri. Akademi tersebut kini dibuka kepada orang awam serta penggiat industri yang ingin mendalami bidang berkenaan.

Pemilihan Desa Sri Hartamas sebagai lokasi pertama di Kuala Lumpur pula dibuat bagi memperluaskan capaian jenama kepada masyarakat yang lebih pelbagai.

Majlis pembukaan cawangan baharu itu diadakan dalam suasana santai dan lebih intim, membolehkan para tetamu mendengar sendiri kisah di sebalik kelahiran Siikat sambil menikmati pelbagai aktiviti seperti pemeriksaan kulit kepala, demonstrasi makanan dan sesi rawatan ekspres.

Melangkah ke hadapan, Pn Rahmah optimis Siikat mampu melangkah lebih jauh, termasuk menembusi pasaran antarabangsa dengan Indonesia dan Timur Tengah antara destinasi yang sedang dipertimbangkan. Perjalanan Siikat juga dilihat semakin mekar apabila September ini bakal menyaksikan pembukaan sebuah lagi cawangan di Rimbayu Sanctuary Mall.

Lebih istimewa, bukan hanya Siikat yang bakal membuka tirai di lokasi tersebut, malah sebuah jenama baharu, Siiora, turut diperkenalkan. Beroperasi bersebelahan Siikat, Siiora diwujudkan khusus untuk lelaki, membawa konsep penjagaan diri yang tersendiri dan menandakan satu lagi langkah berani kepimpinan wanita dalam mengembangkan empayar perniagaan yang diasaskan daripada sebuah impian kecil.

Di sebalik setiap helaian rambut yang dirawat, Siikat sebenarnya sedang menyulam lebih daripada sekadar kecantikan. Ia menyulam keyakinan, ketenangan dan kekuatan wanita – kerana setiap wanita berhak menjaga mahkotanya dalam ruang yang selamat, selesa dan penuh penghargaan.

Di sebalik setiap helaian rambut yang dirawat, Siikat sebenarnya sedang menyulam lebih daripada sekadar kecantikan. Ia menyulam keyakinan, ketenangan dan kekuatan wanita kerana setiap wanita berhak menjaga mahkotanya dalam ruang yang selamat, selesa dan penuh penghargaan.

untuk mengentahu lebih lanjut boleh layari laman web Siikat 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat