Hakim Perbicaraan Kes SRC Tidak Berpengalaman – Shafee Abdullah

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu bahawa seorang hakim yang tidak mempunyai pengalaman dalam kes jenayah ditugaskan untuk mendengar perbicaraan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam penghujahannya berkata, adalah perlu bagi hakim berpengalaman dalam kes jenayah untuk mengendalikan kes SRC.

“Kes ini (SRC International) adalah kes pada abad ini. Pada saat-saat akhir, mereka (badan kehakiman) melantik hakim yang tidak berpengalaman dalam perbicaraan jenayah untuk mendengar kes ini,” katanya di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Pada bulan Julai 2018, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dipindahkan dari Mahkamah Komersial Baru 1 (NCC) ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 untuk mengendalikan perbicaraan kes SRC Najib.

Beliau mengambil alih daripada hakim sebelumnya, Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang pada mulanya ditugaskan untuk mendengar kes SRC.

Muhammad Shafee juga berpendapat berdasarkan pengalamannya lebih 40 tahun sebagai peguam dan bekas timbalan pendakwa raya, kes jenayah yang kompleks sering didengar oleh hakim yang berpengalaman.

Peguam itu juga memetik kes berprofil tinggi termasuk kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Harun Idris pada 1977 dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa atas pertuduhan liwat dan salah guna kuasa pada 1999.

“Kedua-dua kes dikendalikan hakim yang berpengalaman dan ia adalah perlu kerana Hakim Mohd Nazlan telah terkhilaf dalam kes SRC International,” katanya.

Muhammad Shafee seterusnya berhujah bahawa keputusan hakim perbicaraan itu adalah salah berdasarkan undang-undang apabila hakim mendapati wujud kes prima facie terhadap Najib.

Najib, 67, mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya, mengapa beliau perlu dibebaskan daripada pertuduhan terbabit. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat