KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU itu antara langkah reformasi institusi yang dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.
“Semua orang ada had tempohnya, KSN (Ketua Setiausaha Negara) tak boleh sampai puluh tahun, juga terpakai untuk semua kerana kalau diberikan tempoh, dan dalam tempoh itu mampu melaksanakan, selepas itu elok kita serahkan kepada generasi berikutnya.
“Ini juga terpakai kepada Jabatan Perdana Menteri, maka kita akan membentangkan RUU mengehadkan tempoh bagi jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada Isnin.



