KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semoga usaha reformasi dan inisiatif untuk rakyat ini mengukuhkan usaha kita untuk menjamin masa depan Malaysia yang lebih adil dan bermaruah untuk semua.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya telah menyampaikan hala tuju dan inisiatif yang akan menggerakkan pentadbiran Kerajaan Madani sepanjang tahun ini.
“Usaha reformasi kekal menjadi tunjang untuk membina semula institusi negara dan memastikan pimpinan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada rakyat,”ujar Anwar.
Menurut Perdana Menteri, antara reformasi utama yang akan dilaksanakan ialah pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat. Langkah-langkah ini penting bagi mengukuhkan asas negara hukum yang lebih telus dan berintegriti.
“Kerajaan Madani juga akan meneruskan usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran dengan memperkemas birokrasi, mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan awam, dan menyegerakan projek-projek rakyat seperti membaiki sekolah dan klinik daif, menutup jalan berlubang serta menambah lampu jalan,” jelas Menteri Kewangan.
Pada masa yang sama Anwar memaklumkan, kebajikan rakyat kekal sebagai teras pentadbiran Madani.
“Bantuan bersasar, sokongan kos sara hidup, peningkatan gaji penjawat awam serta inisiatif pendidikan dan kesihatan dilaksanakan bagi memastikan hasil pertumbuhan ekonomi kembali kepada rakyat.
“Kesemua langkah ini saling melengkapi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, memperkukuh keyakinan pelabur, dan memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara lebih adil oleh seluruh rakyat,” ujar Anwar.



