A Aida kecewa khidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah FINAS ditamatkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penerbit drama dan filem, Datuk A Aida mengaku terlalu kecewa apabila pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ditamatkan serta-merta.

Aida yang hanya sempat menggalas jawatan itu selama enam bulan iaitu sejak Jun hingga 16 Disember lalu, terkilan hasrat berjuang untuk industri kreatif melalui jawatan itu, terhenti.

“Terlalu kecewa kerana saya terima tawaran sebagai Ahli Lembaga FINAS kerana mahu berjuang untuk industri kreatif.

“Namun, apakan daya, perjuangan saya terhenti. Cuma saya harap ahli baharu dilantik dapat teruskan perjuangan saya demi kepentingan industri kreatif.

“Saya berjuang habis-habisan untuk industri seni. Biarpun ada yang kata mereka tidak nampak fungsi kami.

“Tetapi tidak mengapa kerana apa yang penting kami tahu apa yang kami perjuangkan,” katanya kepada BH Online.

Aida berkata, sepanjang tempoh enam bulan menduduki jawatan Ahli Lembaga Pengarah FINAS, dia sempat menghasilkan kertas kerja membabitkan tiga isu penting iaitu harta intelek (IP), sistem gred dan peruntukan jam untuk rancangan terbitan RTM.

Aida sempat membentangkan tiga isu terbabit pada mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah yang lain termasuk bekas Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang mahu membawa perkara itu ke Parlimen.

“Saya minta RTM laksanakan kembali hak pemegang IP seperti 2016 di mana RTM hanya ada hak atas tayangan untuk saluran terrestrial di negara ini sahaja.

“Mengikut kontrak pada 2016, penerbit boleh jual program mereka ke seluruh dunia tanpa campur tangan RTM.

“Dari situ penerbit boleh mendapat sumber pendapatan,” katanya.

 

A Aida sempat menghasilkan kertas kerja membabitkan tiga isu penting iaitu harta intelek (IP), sistem gred dan peruntukan jam untuk rancangan terbitan RTM sepanjang tempoh enam bulan. - Foto IG A Aida
A Aida sempat menghasilkan kertas kerja membabitkan tiga isu penting iaitu harta intelek (IP), sistem gred dan peruntukan jam untuk rancangan terbitan RTM sepanjang tempoh enam bulan. – Foto IG A Aida

 

Aida turut membangkitkan sistem gred yang pernah dilaksanakan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang wajar diperkenalkan semula agar tidak timbul hak berkepentingan bagi mengelak dana kerajaan disalah guna.

“Syarikat yang berpengalaman selama 20 tahun dikelaskan dalam kumpulan A, diikuti 10 tahun di bawah gred B dan gred C untuk syarikat yang kurang 10 tahun beroperasi.

“Jadi, tidak timbullah isu syarikat yang baru setahun jagung mendapat dana berjuta-juta hanya disebabkan mereka anak kepada individu tertentu.

“Dengan cara itu, kita dapat mengelak kes penyalahgunaan dana. Syarikat berusia setahun jagung sepatutnya diberi projek seperti telefilem,” dakwa Aida.

Aida turut memperjuangkan isu peruntukan jam atau ‘airtime’ apabila penerbit berpengalaman sebelum ini memperoleh kira-kira 300 jam iaitu tempoh siaran untuk setahun di RTM.

Tambahnya, dengan jam peruntukkan 100 jam, produser mampu memperoleh RM5 juta di mana memudahkan mereka merancang termasuk membeli peralatan penggambaran bagi meningkatkan produktiviti syarikat.

“Dalam keadaan sekarang, penerbit sukar merancang kerana dana yang diperuntukkan sangat sedikit jika dibandingkan suatu ketika dahulu.

“Syarikat yang berjaya mendapatkan peruntukan jam tidak banyak. Ada syarikat yang gagal terpaksa menanggung risiko gulung tikar kerana tiada tawaran daripada RTM.

“Jika RTM beri 50 jam bersamaan dengan RM2.5 juta kepada sebuah syarikat pun sudah memadai.

“Untuk syarikat baharu mungkin boleh diberi antara tiga jam hingga enam jam di mana perlu menerbitkan antara tiga telefilem hingga lima telefilem,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat