KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pas Bachok mendesak Kerajaan Madani bertindak tegas menggantung tugas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Desakan Syahir Sulaiman ini susulan skandal epik membabitkan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung dakwaan pemalsuan dokumen kelayakan tujuh pemain warisan.
“Selaras dengan prinsip Malaysia Madani- bermaruah dan berintegriti, gantung tugas Menteri KDN dan Menteri KBS, atau berundur secara terhormat.
“Rayuan FAM ditolak; gantung tugas Menteri.
“Menurut FIFA, wujud elemen pemalsuan, pelanggaran dan ketidakpatuhan.
“Skandal ‘epik’ yang menghampakan penyokong, memalukan negara. Bangkit Malaysia! seru Syahir.
Terdahulu, FIFA dalam kenyataan memaklumkan menolak rayuan FAM berhubung perkara tersebut.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan menulis kepada badan induk bola sepak dunia itu untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya, mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS).
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menerima keputusan rayuan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), di mana rayuan kami telah ditolak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook FAM semalam.
Pada 26 September lalu, FAM bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya menyatakan FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.
Selain itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FAM serta menggantung tujuh pemain warisan selama 12 bulan selepas didakwa melakukan pemalsuan dokumen kelayakan.
Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.



