PAYA RUMPUT — Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin berhasrat membawa perubahan menyeluruh kepada kawasan itu menerusi pembangunan infrastruktur, penyelesaian isu rakyat serta usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Beliau berkata, Paya Rumput yang berkembang pesat sebagai kawasan separa bandar memerlukan perancangan pembangunan lebih tersusun, khususnya dalam menangani isu banjir, kesesakan lalu lintas, kos sara hidup serta kekurangan kemudahan awam.
Menurutnya, pertambahan penduduk dan pembangunan perumahan yang semakin rancak memerlukan perhatian serius supaya kemudahan asas sedia ada mampu menampung keperluan masyarakat.
“Pertambahan penduduk di kawasan ini sangat tinggi dan pesat. Daripada keseluruhan 28 DUN di negeri Melaka, Paya Rumput mempunyai jumlah pengundi paling tinggi, iaitu 46,000 orang.
“Sebelum ini, pada tahun 2021, jumlah pengundi sekitar 25,000 orang. Ini menunjukkan peningkatan hampir 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual khas Mandat PRN Melaka Ke-16 bersama Suara.TV.
Azman berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah keupayaan sistem perparitan, longkang dan jalan raya untuk menampung pembangunan baharu, terutama apabila kawasan itu dijangka menerima tambahan antara 10,000 hingga 20,000 unit rumah.
“Saya juga dimaklumkan mungkin terdapat 10,000 hingga 20,000 lagi rumah yang akan dibina di kawasan Paya Rumput ini. Persoalannya, adakah kapasiti sistem perparitan, longkang dan jalan raya mampu menampung kepesatan pembangunan tersebut?
“Semua ini perlu diambil kira. Sebenarnya banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya.
Selain menangani masalah infrastruktur, beliau turut merancang memperluas kemudahan masyarakat termasuk pembinaan dewan orang ramai, gelanggang futsal dan kawasan riadah yang lebih baik bagi memenuhi keperluan penduduk.
Katanya, kesesakan lalu lintas yang semakin ketara susulan pertambahan kawasan perumahan juga memerlukan perancangan semula bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pembangunan kawasan itu lebih teratur.
Dalam aspek ekonomi setempat, Azman mahu memperkasa penjaja kecil dan usahawan tempatan menerusi bantuan modal, latihan serta pendedahan kepada perniagaan dalam talian.
Beliau berkata, penjaja bukan sahaja memerlukan bantuan kewangan, malah lokasi perniagaan yang sesuai dan selesa bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan serta menjana pendapatan lebih baik.
“Kita boleh membantu mereka dari segi modal, latihan dan pendedahan kepada perniagaan dalam talian. Kita juga boleh meneroka peluang memberikan latihan dan geran supaya mereka boleh menjual produk secara dalam talian, termasuk dari rumah,” katanya.
Menyentuh pembangunan ekonomi Melaka secara keseluruhan, Azman yang mempunyai pengalaman dalam bidang kewangan, perbankan dan pelaburan berkata, negeri itu perlu mengembangkan sumber ekonominya dengan menarik lebih banyak pelaburan berprestasi tinggi, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi.
Menurutnya, Melaka mempunyai potensi untuk berkembang sebagai pusat perindustrian, hab kewangan dan perdagangan yang mampu menarik pelabur dalam serta luar negara, selain terus memperkukuh sektor pelancongan.
“Saya mahu menjadikan Melaka bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan terkenal di seluruh dunia, tetapi juga sebagai pusat perindustrian yang hebat, hab kewangan atau pusat perdagangan yang mampu menarik lebih ramai pelabur dalam dan luar negara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha menarik pelaburan perlu disokong tenaga kerja tempatan yang mahir menerusi penyediaan latihan dan pendidikan bersesuaian, terutama bagi golongan muda.
Katanya, pelaburan berkualiti tinggi bukan sahaja perlu mewujudkan peluang pekerjaan, malah menawarkan pendapatan lebih baik supaya rakyat tempatan turut menikmati manfaat daripada perkembangan ekonomi negeri.
“Jika sesebuah syarikat memerlukan tenaga kerja mahir tetapi kita tidak memilikinya, tidak ada sebab untuk mereka melabur di sini. Kita perlu memastikan rakyat tempatan dan golongan muda mendapat manfaat daripada pelaburan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Azman melihat pengalaman serta kedudukannya sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai nilai tambah untuk membantu menyelaraskan keperluan pembangunan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Katanya, hubungan baik antara kedua-dua kerajaan perlu dikekalkan tanpa mengira parti yang mentadbir negeri bagi memastikan peruntukan dan kemudahan daripada pelbagai kementerian dapat disalurkan kepada rakyat.
“Saya boleh membantu menjadi fasilitator antara kerajaan negeri dan Persekutuan untuk membantu rakyat, bukan sahaja di Paya Rumput tetapi di seluruh negeri Melaka.
“Kita mahu membantu orang Melaka, bukan untuk membantu diri sendiri atau parti kita. Tujuan saya adalah untuk membantu rakyat Melaka,” katanya.
Mengulas keyakinannya untuk menawarkan khidmat kepada penduduk Paya Rumput, Azman berkata, beliau tidak mahu membuat janji besar sebaliknya mahu membuktikan kemampuan melalui hasil kerja yang boleh dilihat dan dirasai masyarakat.
“Saya tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang kerana nanti orang akan mengatakan saya hanya bercakap kosong atau hipokrit. Jika saya mahu melakukan sesuatu, saya perlu melaksanakannya.
“Saya mahu penduduk melihat perubahan walaupun tidak banyak, tetapi mereka dapat melihat dan merasai sendiri hasilnya,” katanya.
Beliau yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya turut berharap penduduk Paya Rumput memberikan peluang kepadanya untuk membawa pengalaman dalam bidang politik, pentadbiran dan korporat ke peringkat negeri.



