KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi berharap Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan membuka jalan kepada pengakhiran parti Bersatu.
Bukan cuma itu, Puad juga berharap dengan terkuburnya Bersatu maka bekas pimpinan dan ahli parti lambang Bunga Raya itu kembali semula ke dakapan Umno.
“Diharap PRN Sabah membuka jalan parti itu akan berakhir.
“Maka diharap perpecahan dalaman Bersatu itu berakhir dengan parti itu dibubarkan dan mereka menyertai semula Umno,” ujar Speaker DUN Johor itu.
Dalam pada itu, Puad menegaskan bahawa kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah betul apabila bekas Perdana Menteri itu berkata perpecahan Bersatu bukan perpecahan Melayu.
“Bahkan penubuhan Bersatu itu penyumbang kepada perpecahan Melayu.
“Sejak berkuasa, Bersatu tidak pernah aman. Semuanya gila kuasa. Tun M sendiri disingkir daripada Bersatu.
“Bersatu bertanggungjawab tubuh PN yang membunuh Muafakat Nasional (MN).
“Ambil contoh pembubaran Semangat 46. Mereka menyertai semula Umno,” katanya sambil mendakwa Bersatu didokong oleh katak.



