Pemandu e-hailing nikmati kuota tambahan 800 liter BUDI95 sebulan – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berita gembira apabila kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-hailing yang layak kepada sehingga 800 liter sebulan tertakluk syarat perjalanan ditetapkan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, untuk bulan Oktober, kerajaan telah menyediakan had kelayakan tambahan untuk pemandu e-hailing aktif dengan menaikkan had kelayakan daripada 300 liter kepada 600 liter.

“Setakat ini, seramai 58,000 pemandu e-hailing layak menerima sehingga 600 liter sebulan.

“Setelah meneliti rayuan pemandu e-hailing berdasarkan kegunaan sebenar, sukacita saya umumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-hailing yang layak kepada sehingga 800 liter sebulan tertakluk syarat perjalanan ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pada masa yang sama Anwar menyatakan, kerajaan turut bersetuju supaya teksi lapangan terbang turut disenaraikan sebagai kenderaan yang layak menerima petrol RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi
(SKPS).

Menurut beliau, kerajaan telah meluaskan kelayakan BUDI95 kepada nelayan yang tidak mempunyai lesen memandu yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan agensi Kerajaan Sabah dan Sarawak.

“Setakat 31 Oktober 2025, hampir 24,000 pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu telah diluluskan untuk menerima BUDI95.

“Kerajaan akan terus memantau corak penggunaan dan membuat penilaian semula dari semasa ke semasa bagi memperkukuh pelaksanaan dasar penyasaran subsidi RON95.

“Tindakan penguatkuasaan juga akan diambil atas mana-mana pihak yang menyalahgunakan subsidi RON95,” ujar beliau.

Anwar turut berkongsi data, hanya kurang 0.7 peratus sahaja penerima BUDI95 yang menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir bulan Oktober 2025.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat