Isu Menteri Guna Vellfire, PH Tuding Jari Salahkan Najib

- Advertisement -

CYBERJAYA – Isu kenderaan rasmi bagi kegunaan menteri-menteri kerajaan Persekutuan yang menggunakan kenderaan model Toyota Vellfire 2.5L terus hangat mencetus pertikaian di laman media sosial, lapor Utusan Online.

Memetik laporan itu, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Bayan Baru dari PKR, Sim Tze Tzin berkata, Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini dilihat kononnya sangat mesra rakyat, namun tanpa disedari menteri-menteri mendapat bantuan kenderaan Vellfire itu.

“Contohnya, orang muda dapat ewallet RM150 secara one off, penjawat awam pula mendapat RM700 one off. Rakyat pasti gembira kerana menerima bantuan tersebut.

“Namun di sebalik pemberian sagu hati kepada rakyat ini, tanpa disedari, Menteri-Menteri Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pas itu sebenarnya dapat menikmati bantuan yang paling banyak apabila mereka mendapat ‘bantuan kereta Vellfire’ sebanyak RM 5,759.35 sebulan.

“Hutang negara juga telah mencecah sehingga RM1.3 trillion. Hutang kerajaan telah mencecah 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Adakah kemewahan ini satu keperluan?,” katanya.

Kata Ahli Parlimen PH itu lagi, kebanyakan mereka yang menjawat jawatan masa kini adalah mereka yang dahulunya lantang membantah kerajaan Perikatan Harapan (PH) kerana mempertimbangkan cadangan untuk menukar kenderaan rasmi.

“Namun, sekarang mereka seronok menikmati kemudahan ini tanpa perasaan segan silu, segala bantahan dulu nampaknya telah dicurahkan ke laut selat Melaka,” katanya.

Ahli Parlimen PH itu turut cuba menuding jari menyalahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiada kena mengena dalam isu tersebut.

“Paling nyata, Najib yang lantang membantah kerajaan PH, sekarang membisu seribu bahasa. Rakyat dapat memerhatikan pendirian dan karenah BN, PN dan PAS sebelum dan selepas mendapat kuasa. Tepuk jari tanya sendiri,” katanya Ahli Parlimen dari PKR itu.

Mengulas perkara tersebut, Najib menerusi satu hantaran di Facebooknya berkata, keputusan berkaitan menukar kenderaan rasmi itu kepada model Toyota Vellfire tidak mempunyai kaitan dengannya.

“Kenapa salah Najib pula? Yang cadang Vellfire untuk menteri pada bulan Januari 2020, kerajaan Perdana Menteri ketujuh (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

“Yang akhirnya mula ganti dengan Vellfire pada bulan April 2021 semasa darurat dan tak ada parlimen, kerajaan Perdana Menteri kelapan (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Nak tanya, tanyalah pada ‘Atok’ dengan ‘Abah’ kau,” kata Najib.

Bersama penjelasannya itu Najib turut melampirkan tangkap layar kenyataan bekas Menteri Kewangan yang juga adalah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 1 Januari 2020 berkaitan isu Velfire.

Turut disertakan salinan kecaman seorang penyokong PH yang menyalahkan Najib dalam isu tersebut serta kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai penggunaan kereta Velfire sebagai kenderaan rasmi bermula April tahun ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul dalam jawapannya di Dewan Rakyat menyatakan perbelanjaan kerajaan menyediakan kereta rasmi Vellfire kepada Menteri-menteri dan jumlah jumlah perbelanjaan sewaan sesebuah kereta Vellfire daripada syarikat konsesi Spanco sebulan.

Menerusi jawapan yang disertakan, beliau berkata kerajaan telah memulakan proses penggantian kenderaan rasmi daripada model Proton Perdana 2.4L kepada Toyota Vellfire 2.5L bermula April tahun ini.

“Kerajaan membayar kos pajakan bulanan Toyota Velifire 2.5L sebanyak RM5,759.35. Kos pajakan bulanan ini terdiri dari kos sewaan bulanan sebanyak RM4,851.61 dan kos selenggaraan bulanan RM907.74.

“Sehingga September, kerajaan telah membayar kos pajakan sebanyak RM1.42 juta kepada Syarikat Konsesi,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat