Perwakilan akan undi sama ada DAP kekal dalam kerajaan atau keluar 16 Ogos ini – Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kedudukan DAP dalam kerajaan akan ditentukan oleh perwakilan dalam Persidangan Kebangsaan DAP pada 16 Ogos ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, satu usul akan dikemukakan kepada perwakilan bagi menentukan sama ada parti itu akan terus kekal dalam kerajaan atau sebaliknya.

Menurut Loke, keputusan tersebut tidak akan dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), sebaliknya diserahkan kepada kebijaksanaan perwakilan yang layak mengundi.

“CEC memutuskan supaya satu usul dikemukakan dalam Persidangan Kebangsaan DAP pada 16 Ogos untuk menentukan sama ada DAP kekal dalam kerajaan bagi tempoh baki penggal Parlimen atau sebaliknya.

“Keputusan itu bukan dibuat oleh CEC. Kita menyerahkannya kepada kebijaksanaan para perwakilan untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat CEC di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, lapor Utusan pada Isnin.

Loke berkata, pengundian akan dijalankan secara undi sulit bagi memastikan setiap perwakilan bebas membuat keputusan tanpa dipengaruhi pendirian mana-mana pemimpin parti.

Menurutnya, terdapat pelbagai pandangan dalam kalangan pemimpin DAP berhubung kedudukan parti dalam kerajaan, namun pandangan tersebut bersifat peribadi.

“Kita mengamalkan sistem demokrasi dalaman. Walaupun saya Setiausaha Agung, keputusan DAP bukan ditentukan oleh saya.

“Perwakilan akan diberikan kertas undi untuk menentukan sama ada parti kekal dalam kerajaan atau tidak. Ia akan menjadi keputusan kolektif parti,” katanya.

Menteri Pengangkutan itu berkata, CEC tidak mahu menetapkan sebarang pendirian awal kerana tindakan itu dikhuatiri boleh mempengaruhi keputusan para perwakilan.

Katanya, keputusan pada 16 Ogos itu akan memberikan hala tuju yang lebih jelas mengenai langkah DAP selepas ini, termasuk kedudukan parti dalam kerajaan dan hubungan dengan gabungan sedia ada.

“Kita akan akur dengan keputusan perwakilan. Selepas 16 Ogos, akan menjadi lebih jelas bagaimana parti akan bergerak ke hadapan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat