KUALA LUMPUR – Pengundi Negeri Sembilan memilih emosi dan sentimen kaum dari prestasi dan pencapaian sebagai tanda aras sokongan mereka.
Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ketidakpercayaan dan kebencian antara kaum dan agama akan semakin melebar justeru menjejaskan kestabilan dan perpaduan yang merupakan kunci kepada kemakmuran negara.
“Tahniah kepada para pengundi di Negeri Sembilan kerana telah membuat pilihan anda membentuk kerajaan baru Negeri Sembilan. Kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan adalah petunjuk kepada kemenangan politik identiti kaum ke atas politik nilai rentas berbagai kaum dan agama yang dibawa oleh PH.
“Sementara kita menghormati pilihan pengundi, kita juga melahirkan kebimbangan bahawa parti-parti yang membawa naratif politik beridentitikan kaum dan agama sempit berpotensi membawa risiko kepada suasana politik menjadi semakin meruncing.
“Selain itu mesej politik kepada rakyat menjadi lebih keliru apabila BN yang merupakan sebahagian komponen Kerajaan Perpaduan telah bersekongkol dengan pembangkang dari PN tetapi menggunakan kelebihan kedudukan mereka sebagai menteri dan lain-lain kedudukan rasmi untuk berkempen di Negeri Sembilan.
“Sikap BN di Negeri Sembilan dikesali atas perbuatan ‘menikam’ rakan terang-terangan dengan membahagikan kerusi sesama PN untuk mengalahkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang dibentuk bersama sebelum PRN,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Mujahid mengingatkan, PH harus sedar bahawa cita-cita perpaduan yang diharapkan bersama BN telah dirampas oleh cita-cita ketuanan Melayu-Islam yang dibawa oleh PN dan demi kuasa, BN sanggup meninggalkan cita-cita melihat Malaysia tanpa prejudis dan kebencian kaum-agama.
“Ini adalah isyarat bahawa PH akan mengharungi laluan mendaki yang sukar jika PH beriltizam untuk istiqamah membawa Malaysia ke politik nilai yang lebih menjaminkan masadepan negara.
“Apakah akan berlaku pensejajaran semula untuk memenangkan politik nilai daripada politik perkauman? PH harus bermuhasabah ke dalam dan mencari di mana kelemahannya sementara pada waktu yang sama mereka juga perlu membina kekuatan baharu untuk menggerakkan momentum bagi pilihan raya umum yang akan datang,” ujar Mujahid yang juga Pengarah Induk Pilihan Raya Amanah.



