KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mahu Anthony Loke kekal sebagai Setiausaha Agung DAP.
Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo berkata, CEC sebulat suara memberikan sokongan penuh kepada Anthony Loke terus memimpin sekali gus membawa DAP ke depan.
“Sidang akhbar pada malam ini, bincangkan keputusan susulan daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini khususnya untuk melihat kenapa yang berlaku, keputusan dan kemudian mendapat pendapat daripada semua ahli CEC berkaitan dengan hala tuju ini ke depan selepas daripada pilihan raya negeri ini.
“Terlebih boleh dahulu, izinkan saya menyatakan di sini bahawa CEC malam ini (semalam) telah pun dengan sebulat suara memberikan sokongan yang penuh kepada pimpinan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP.
“Jadi soal pimpinan Setiausaha Agung itu tidak berbangkit kerana kita semua setuju bahawa beliau harus terus dengan jawatan tersebut dan harus membawa parti ke depan,” tegas Gobind.
Selain daripada itu, beliau memaklumkan DAP telah pun juga membuat keputusan-keputusan yang tertentu yang berkaitan dengan pimpinan di Negeri Sembilan.
“Saya akan minta Anthony Loke untuk memaklumkan keputusan itu kepada para media,” ujarnya.
Pada 3 Ogos, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi parti DAP Negeri Sembilan.
Beliau mengambil tanggungjawab atas prestasi DAP yang merosot dalam PRN Negeri Sembilan ke-16 dan menegaskan keputusan dibuat atas dasar peribadi tanpa tekanan mana-mana pihak.


