Zara Qairina: Tragedi Kecuaian dan Kegagalan Prosedur Asas

KUALA LUMPUR, – Kematian tragik pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, terus mencetuskan persoalan mengenai integriti siasatan pihak polis, khususnya dalam memastikan keadilan ditegakkan tanpa tekanan awam.

Kolumnis Sinar Ahad, Ab Jalil Backer dalam tulisannya semalam menyifatkan kegagalan pihak polis mengendalikan siasatan dengan telus dan profesional sejak awal telah membuka ruang kepada spekulasi liar, termasuk dakwaan penglibatan anak individu kenamaan (VIP) dalam insiden tersebut.

“Desas-desus sebegini tidak akan timbul sekiranya pihak polis tidak dilihat bertindak sambil lewa,” tulis beliau sambil mengkritik keperluan Ketua Polis Daerah Papar menegaskan komitmen siasatan hanya selepas kemarahan awam memuncak.

Zara Qairina ditemui dalam keadaan koma di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya. Sehingga kini, tiada saksi kejadian, rakaman CCTV mahupun penjelasan menyeluruh diumumkan secara terbuka.

Ab Jalil turut mempersoalkan tindakan pihak polis yang tidak mengarahkan bedah siasat serta-merta, sedangkan kes melibatkan pelajar dalam kawasan institusi tertutup sewajarnya diklasifikasi sebagai kematian luar biasa.

“Zara bukan jatuh ketika mendaki gunung atau terlibat dalam kemalangan. Beliau dijumpai dalam persekitaran tertutup, pada waktu mencurigakan, dengan kecederaan yang dipertikai,” ujar beliau.

Luahan ibu mangsa, Puan Noraidah Lamat, yang mendakwa anaknya dibuli dan mengalami kecederaan yang tidak konsisten dengan jatuh bangunan, menurut Ab Jalil, tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Meskipun dakwaan tersebut bukan bukti jenayah, ia sewajarnya mencetuskan siasatan menyeluruh dari awal.

Sebaliknya, keluarga terpaksa menanggung beban sendiri termasuk memfailkan permohonan ke mahkamah untuk membongkar semula kubur Zara bagi menjalankan autopsi tindakan yang sepatutnya dilakukan secara automatik oleh pihak berkuasa.

Apa yang lebih mengecewakan, katanya, adalah tindakan siasatan intensif hanya dilakukan selepas tekanan media sosial dan penyebaran dakwaan penglibatan VIP, termasuk memanggil puluhan saksi dan menghantar laporan ke Bukit Aman.

“Inilah akibat apabila prosedur asas seperti klasifikasi kematian dan bedah siasat tidak dijalankan segera. Bukti boleh terhapus, kepercayaan rakyat terhakis, dan keluarga menjadi mangsa dua kali,” katanya.

Kolumnis itu turut menggesa Ketua Polis Negara yang baharu untuk tampil dengan penjelasan jelas mengenai kecuaian ini dan memperbaiki kelemahan sistemik agar insiden seperti ini tidak berulang.

“Satu sistem keadilan yang cekap tidak memerlukan tekanan awam untuk berfungsi,” tegasnya mengakhiri tulisan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat