Oleh Zihan Zari
SEGAMAT – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menyerahkan peruntukan berjumlah RM100,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, Johor, menerusi inisiatif Program Sekolah Angkat MADANI 2025.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata program ini dilaksanakan susulan peluncurannya di peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun lalu.
Penyerahan simbolik mock cheque peruntukan telah disampaikan kepada Pengetua SMKA Segamat, Ustaz Mohd Salleh Mohd Noor di SMKA Segamat dekat sini baru-baru ini.
Turut menyaksikan, wakil Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Mohd Khairi Mabiai; dan Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Hj. Abdul Rahman Kechik.
Khairul Shahril berkata berdasarkan peruntukan yang disediakan, SPR telah meluluskan beberapa program utama meliputi empat komponen.
Di antaranya, pembangunan kurikulum menerusi Program Akademik Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Sijil Tingi Persekolahan Malaysia (STPM) serta Program Menuju Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berjumlah RM31,000.
Selain itu, pembangunan sahsiah dan kokurikulum merangkumi kem kepimpinan dan program penghayatan hadis dengan jumlah RM12,000, serta Pembangunan profesionalisme guru meliputi program latihan dalam perkhidmatan (LADAP Digital) berjumlah RM5,000.
Turut diberikan keperluan ICT iaitu pembekalan 2 unit interactive whiteboard bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan 50 unit komputer tablet untuk kegunaan pelajar dengan jumlah RM52,000.
“Program ini diharapkan menjadi pemangkin dalam peningkatan penyampaian pendidikan yang berkualiti, inklusif dan progresif, selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing, berpengetahuan dan berakhlak mulia,”katanya dalam kenyataan.
“Melalui peruntukan yang disalurkan, warga sekolah bukan sahaja dapat menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih moden dan interaktif, malah berpeluang meningkatkan tahap pencapaian akademik serta sahsiah diri, ”katanya lagi.
Tambahnya, pelaksanaan program ini menzahirkan tanggungjawab sosial dan komitmen SPR untuk terus berganding bahu dengan pelbagai pihak dalam membangunkan ekosistem pendidikan negara yang mampan dan holistik.
Terdahulu, dalam mesyuarat bersama pada Mei lalu, SPR bersama pihak sekolah dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKA Segamat telah mengutarakan pelbagai keperluan melibatkan aspek infrastruktur fizikal, ICT serta pembangunan guru dan pelajar.-SUARA.TV



