KOTA KINABALU – Perdana Menteri merangkap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru pimpinan dan jentera KEADILAN Sabah agar memperkukuh kesatuan serta memantapkan gerak kerja menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Anwar menegaskan bahawa tanggungjawab parti bukan sahaja mempersiapkan jentera, tetapi juga menyampaikan penjelasan berfakta, melawan fitnah dengan hujah, dan mengangkat suara serta aspirasi rakyat Sabah secara ikhlas dan amanah.
“Setiap kerusi yang ditandingi KEADILAN mesti dimenangi dengan keyakinan, iltizam dan usaha gigih,” katanya sambil menekankan pentingnya KEADILAN Sabah memperkukuh struktur organisasi dan keanggotaan di setiap cabang.
Anwar turut menyentuh tentang hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang kini disifatkan sebagai jauh lebih baik berbanding dahulu, hasil pendekatan inklusif yang diamalkan oleh Kerajaan MADANI.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan pusat akan terus komited membantu pembangunan Sabah secara adil dan berimpak tinggi.
Anwar juga mengingatkan bahawa fasa pemilihan parti telah pun berakhir, dan kini adalah masa untuk seluruh jentera KEADILAN Sabah bersatu tenaga dan memperkemas semula strategi di semua peringkat.



