KUALA LUMPUR,– Mekanisme baharu yang membolehkan wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka dijangka berkuat kuasa menjelang akhir tahun depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu susulan pindaan Perlembagaan yang telah diluluskan Parlimen pada Oktober tahun lalu.
“Selepas pindaan diluluskan, ada satu rukun yang mesti kita sempurnakan dahulu, iaitu mengemaskini Peraturan-Peraturan Kewarganegaraan 1964. Ada 57 fasa yang perlu diteliti satu per satu,” katanya ketika menjawab soalan Chiew Choon Man (PH–Miri) dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan, selepas semakan selesai, Kementerian Dalam Negeri perlu menjalankan proses perolehan serta mengemaskini borang permohonan untuk membolehkan penyerahan dibuat secara dalam talian.
“Buat masa ini, di luar negara masih menggunakan borang lama. Kita jangkakan kemas kini terhadap Peraturan-Peraturan Kewarganegaraan 1964 dapat diselesaikan sekitar bulan September atau Oktober tahun ini.
“Sebaik selesai, kita akan lengkapkan borang, dan jangkakan tidak melepasi pertengahan atau hujung tahun depan, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tarikh kuat kuasa seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 1(2),” katanya.
Sementara mekanisme baharu belum dikuatkuasakan, ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara dengan pasangan warga asing masih boleh membuat permohonan kewarganegaraan mengikut saluran sedia ada.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin memaklumkan sebanyak 1,980 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan oleh kementerian di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan dari tahun lalu sehingga kini.
Permohonan ini melibatkan kanak-kanak di bawah umur 21 tahun yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia ketika kelahiran.
Menjawab soalan tambahan Mumtaz Mat Nawi (PN–Tumpat), Saifuddin menjelaskan bahawa perubahan yang akan dilaksanakan tidak akan menjejaskan syarat sedia ada lain bagi permohonan kewarganegaraan.
Mumtaz turut mencadangkan agar ujian DNA dijadikan keperluan wajib, namun Saifuddin menegaskan bahawa ia hanya kekal sebagai “elemen sokongan” dan tidak diwajibkan.- SuaraTV



