SANDAKAN, – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pimpinan UMNO Sabah agar tidak menutup pintu rundingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Menurut Zahid, tiada mana-mana parti di Sabah yang cukup kuat atau dominan untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Justeru, beliau menegaskan bahawa pendekatan kerjasama dan rundingan harus terus dibuka bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri.
“Kita tak boleh bergerak secara solo. Tiada satu parti pun di Sabah yang cukup kuat untuk berdiri sendiri. Kalau kita mahu kerajaan yang stabil, kita mesti bekerjasama,” katanya dalam ucapan kepada ahli UMNO di Libaran sempena Jelajah Perpaduan ke Sabah, semalam.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun UMNO Sabah diberi kuasa autonomi sepenuhnya dalam menentukan strategi menghadapi pilihan raya, sebarang keputusan mesti berasaskan prinsip utama untuk berkhidmat kepada rakyat dan menjamin kestabilan politik negeri.
“Walaupun UMNO Sabah diberi autonomi penuh, tetapi strategi mestilah berpaksikan kepentingan rakyat. Jangan tutup terus ruang rundingan,” tegasnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa landskap politik hari ini tidak lagi boleh ditentukan oleh pembangunan semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh persepsi awam, khususnya di media sosial.
“Kita bukan kalah sebab tak buat kerja. Kita kalah sebab tak lawan balik fitnah dan tohmahan di media sosial,” ujarnya.
Zahid turut memberi peringatan kepada ahli parti agar tidak terlalu cepat memusuhi pihak lain secara total dalam konteks rundingan politik, sebaliknya perlu kekal bijaksana dalam mengurus perbezaan.
“Jangan kita hitamkan sesiapa. Dalam kalangan kawan mungkin ada musuh, tapi dalam kalangan musuh juga mungkin ada kawan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa segala isu berkaitan hak dan keperluan rakyat Sabah akan terus dibawa dan dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya akan terus angkat suara rakyat Sabah kepada Perdana Menteri. Beliau komited untuk selesaikan isu-isu lama yang tertangguh,” jelasnya.
Sementara itu, dalam ucapannya sebelum itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sekali lagi menegaskan pendirian bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah tidak akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRN akan datang.
“Kalau Pakatan Harapan mahu bekerjasama dengan GRS, itu urusan mereka, bukan urusan kita,” kata Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.
Kenyataan itu membayangkan perbezaan pendekatan antara kepimpinan UMNO pusat dan negeri, di mana Bung mengambil pendirian lebih keras, manakala Zahid dilihat lebih terbuka terhadap kemungkinan rundingan strategik, termasuk dengan pihak yang pernah menjadi lawan.
Pemerhati politik menjangkakan kenyataan Zahid akan membuka semula perbincangan dalaman antara BN dan PH, terutamanya dalam konteks mengelakkan pertembungan tiga penjuru yang dikhuatiri akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN).
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat berkenaan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah, namun spekulasi semakin hangat bahawa pilihan raya negeri akan diadakan dalam masa terdekat.-SuaraTV



