Konon saham dipegang negara Arab, tapi pengasas, CEO BlackRock Yahudi – A. Kadir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz didakwa cuba ‘spin’ mengenai BlackRock, firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel, memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Wartawan veteran, Datuk A.Kadir Jasin membangkitkan persoalan, adakah Tengku Zafrul cuba mengabui mata umum apabila beliau berkata, dana kekayaan Abu Dhabi, Arab Saudi dan Kuwait mempunyai pegangan saham dalam BlackRock Incorporated?

“Kalau pun benar negara-negara Arab tersebut memegang saham dalam BlackRock, adakah Malaysia juga akan mendapat saham syarikat itu dengan menjual 25 peratus ekuiti Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepadanya?

“Yang tercatat dalam dokumen, pemegang saham utama BlackRock adalah Kumpulan Vanguard, BlackRock sendiri, State Street, Temasek Holdings dan Bank of America.

“Pemegang saham individu terbesar pula adalah Larry Fink, Susan L. Wagner, Robert S. Kapito, Richard Kushel dan Murry S. Gerber. Tidak pula disebutkan nama negara-negara Arab yang Tengku Zafrul jaja itu. Mungkin pegangan mereka kecil.

“Adakah penjualan saham MAHB kepada BlackRock, melalui Global Infrastructure Partners Incorporated (GIP), melibatkan pertukaran saham dengan BlackRock? soal beliau dalam kenyataan, semalam.

Kata A. Kadir lagi, setakat ini, kefahaman umum adalah kerajaan Malaysia, melalui Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), akan menjual 25 peratus saham MAHB kepada GIP dan lima peratus lagi kepada Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).

Manakala katanya, MAHB dimiliki bersama oleh Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta beberapa buah tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) manakala GIP dimiliki 100 peratus oleh BlackRock.

“Tengku Zafrul menekankan yang BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.

“Nampak jelas yang Menteri Umno itu cuba mengabui mata umum dengan bermain dengan kata-kata. BlackRock mungkin tidak dimiliki oleh Israel tetapi ia dikuasai dan diuruskan oleh orang Yahudi.

“Saya pernah memetik akhbar Financial Times, London, bertarikh 6 Oktober 2021, sebagai berkata, ramai dalam pasukan pengurusan BlackRock adalah Yahudi sehingga menyebabkan firma itu digelar “Little Israel”. Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Laurence D. Fink, adalah daripada keluarga Yahudi,” tegas beliau.

Lagipun katanya, ini bukanlah kemasukan modal asing yang menambah kekayaan kita.

Menurut beliau ia sekadar membeli aset yang kita sendiri bina dengan duit dan keringat kita.

“Apakah keuntungan yang kita akan dapat? MAHB ini adalah syarikat berkaitan kerajaan yang untung.

“Selepas ini, apabila MAHB mengisytiharkan dividen, 30 peratus akan mengalir keluar kepada dua pelabur asing itu?

“Melainkanlah MAHB mendapat saham dalam GIP/BlackRock maka barulah urus niaga itu boleh dianggap seimbang. Inilah yang dimaksudkan dengan kualiti pelaburan. Kemasukan modal asing saja belum menjamin yang ia akan memberi faedah kepada negara dan rakyat jelata,” kata A.Kadir lagi.

Kata tokoh wartawan nasional itu, pelaburan yang masuk itu mestilah berkualiti dan mewujudkan kekayaan tambahan kepada negara.

Terdahulu, Tengku Zafrul mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock, firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel, memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Sebelum ini, timbul kritikan menentang penyertaan BlackRock, menerusi anak syarikat penuhnya Global Infrastructure Partners (GIP), dalam konsortium bersama Khazanah Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meningkatkan pegangan dalam MAHB.

Mereka mendakwa walaupun GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (Adia) hanya memiliki 30 peratus pegangan, ia membenarkan kemasukan BlackRock dalam pengurusan dan memiliki 39 lapangan terbang di Malaysia.

Pengkritik juga menuduh BlackRock, firma pelaburan berpangkalan di New York, ‘mengambil untung daripada genosid’ menerusi pegangannya dalam syarikat persenjataan Amerika Syarikat, yang didakwa membekalkan senjata kepada Israel.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul, menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.

Beliau juga merujuk bahawa dana kekayaan dari Abu Dhabi, Kuwait, Arab Saudi, dan Qatar juga memiliki kepentingan saham BlackRock.

Katanya, BlackRock juga merupakan pemegang saham terbesar Apple.

“Semua yang memiliki (produk) Apple, jika anda benar-benar menentang, anda tidak sepatutnya menggunakannya. Siapa pemegang saham terbesar WhatsApp? Siapa pemegang saham terbesar Facebook?

“Jadi, di mana kita nak putuskan garis pemisah? Dalam dasar, di mana kita gariskannya?” katanya.

Tengku Zafrul berkata, penting bagi kerajaan menjelaskan merit rundingan berkenaan, “dan saya fikir mereka telah lakukan”.

“Namun, sudah tentu, mungkin kita kena buat lebih lagi. Bagi saya, kita perlu lihat perkara ini secara holistik,” katanya.

Sebelum ini, Khazanah memberikan jaminan GIP, sebagai rakan konsortium tidak mempunyai kuasa menentukan pengurusan MAHB apabila rundingan dimuktamadkan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat