KUALA LUMPUR, 4 Mac 2025 – Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam menangani perubahan iklim dengan pembentangan Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (RUU CCUS) 2025 di Dewan Rakyat hari ini. RUU yang dibaca buat kali pertama ini dijangka akan melalui Bacaan Kedua dan Ketiga pada 5 Mac 2025.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, penggubalan RUU ini merupakan langkah strategik Malaysia untuk mempercepatkan usaha mitigasi perubahan iklim berasaskan teknologi, sejajar dengan komitmen negara dalam Perjanjian Paris untuk mencapai sasaran sifar bersih pada tahun 2050.
CCUS Sebagai Pemacu Peralihan Tenaga
Malaysia sebelum ini telah melaksanakan pelbagai langkah mitigasi perubahan iklim, termasuk penyelesaian berasaskan alam semula jadi (nature-based solutions). Namun, dalam usaha mempercepatkan peralihan tenaga dan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG), teknologi Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) telah dikenal pasti sebagai salah satu pemacu utama dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang diluncurkan pada 2023.
Teknologi CCUS bukan sahaja memainkan peranan dalam mengurangkan pelepasan karbon tetapi juga diiktiraf sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu berasaskan teknologi hijau dan rendah karbon. Langkah ini selari dengan hala tuju antarabangsa, khususnya keputusan Persidangan Ke-28 Negara Ahli (COP28) kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), yang menekankan kepentingan teknologi sifar dan pelepasan rendah dalam menangani perubahan iklim, terutamanya bagi sektor yang sukar untuk dinyahkarbonkan (hard-to-abate sectors).
RUU CCUS: Kerangka Kawal Selia Untuk Aktiviti Karbon di Malaysia
RUU CCUS menyediakan kerangka kawal selia yang merangkumi empat komponen utama dalam aktiviti karbon di Malaysia, iaitu pemerangkapan, pengangkutan, penggunaan, dan penyimpanan karbon dioksida (CO2). Ia akan berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pada peringkat awal, penyimpanan karbon secara kekal akan dimulakan di kawasan luar pesisir sebelum kajian kebolehlaksanaan bagi penyimpanan karbon di daratan dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi. Ini bagi memastikan aspek keselamatan, keberkesanan serta kesan terhadap alam sekitar dan masyarakat dikaji secara menyeluruh sebelum sebarang pelaksanaan lebih luas dilakukan.
RUU ini juga memberi penekanan terhadap tanggungjawab pengendali tapak penyimpanan dari segi perlindungan alam sekitar serta pengurusan risiko dan liabiliti. Ini bagi memastikan aktiviti CCUS dijalankan secara selamat dan bertanggungjawab, mengikut piawaian antarabangsa yang telah ditetapkan.
Selain itu, kerajaan akan mengenakan levi suntikan ke atas pengendali tapak penyimpanan CO2 bagi memastikan kepentingan negara terpelihara. Walaupun kadar levi ini masih belum dimuktamadkan, kerajaan memberi jaminan bahawa ia akan ditetapkan pada kadar yang kompetitif dan sejajar dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
RUU CCUS Buka Peluang Ekonomi dan Pastikan Peralihan Tenaga Adil
Pelaksanaan RUU CCUS dijangka memberikan pelbagai manfaat kepada Malaysia, bukan sahaja dari segi pengurangan pelepasan karbon tetapi juga sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu. Dengan pembangunan industri berasaskan teknologi karbon rendah, Malaysia berpotensi menarik pelaburan hijau, membuka peluang pekerjaan baharu, dan memperkukuh daya saing negara dalam bidang tenaga bersih dan lestari.
RUU ini juga diharap menjadi titik tolak penting dalam memastikan peralihan tenaga yang adil dan saksama bagi semua rakyat Malaysia. Ini sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memastikan usaha mitigasi perubahan iklim dilaksanakan tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“Malaysia komited untuk memastikan peralihan yang adil bagi semua rakyat, seiring dengan kepentingan ekonomi negara. RUU ini akan menjadi langkah penting dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi rendah karbon di rantau ini,” kata Rafizi Ramli dalam kenyataan medianya.
Dengan langkah ini, Malaysia semakin hampir mencapai sasaran sifar bersih 2050, sekali gus menyumbang kepada usaha global dalam menangani cabaran perubahan iklim secara lebih mampan dan inklusif.-SuaraTV