KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang tegas mengutuk segala bentuk kelakuan mempersenda atau menghina mana-mana agama termasuk Hindu di sebuah stesen radio tempatan milik Astro.
Beliau berkata tindakan itu jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas negara, selain semua pihak seharusnya sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama serta budaya di Malaysia.
“Sebagai sebuah negara majmuk, kita harus memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.
“Sebarang perbuatan menyinggung perasaan penganut agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat kita yang berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Aaron juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), bagi memastikan sebarang penyebaran kandungan mempersenda atau menghina agama di media massa dikenakan tindakan sewajarnya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk tidak mencetuskan ketegangan atau perasaan benci antara penganut agama, selain setiap tindakan menggugat perpaduan dan keharmonian negara harus dipandang serius.
Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo menerusi kenyataan berkata Astro mesti menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap petugas Era FM, kerana mempersendakan ritual suci membawa kavadi pada hari Thaipusam.
“Perbuatan individu dalam video itu sangat menyinggung perasaan dan amat membimbangkan. Mereka tidak mencerminkan nilai saling menghormati dan memahami yang menjadi asas kepada masyarakat berbilang budaya kita.
“Ritual membawa kavadi pada hari Thaipusam membawa maksud mendalam kepada masyarakat Hindu. Sebarang bentuk ejekan atau tidak hormat terhadapnya, atau mana-mana amalan agama tidak boleh diterima,” katanya.
Hari ini, tular di media sosial tindakan tiga penyampai radio stesen milik Astro, Era FM dilihat seolah-olah mempersendakan upacara agama lain dalam segmen kendalian mereka.
Penyampai radio berkenaan kemudiannya membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka menyinggung sensitiviti kaum di negara ini.
Susulan ketegangan berkenaan, Astro Audio merehatkan tiga penyampai Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin susulan kontroversi dicetuskan yang didakwa mempersenda upacara agama Hindu.
Astro Audio dalam satu kenyataan menyebut, penggantungan ketiga-tiga penyampai segmen 3 Pagi Era itu dibuat sehingga siasatan selesai.
“Kami memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini,” menurut kenyataan itu.
Melalui kenyataan sama, Astro Audio memberitahu, pihaknya komited terhadap kepercayaan pendengar dan memastikan persekitaran media dihormati.
“Kami sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan audiens kami.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan.
“Kami amat menghargai maklum balas daripada pendengar dan pemegang taruh serta akan terus mendengar, belajar dan memperbaiki diri,” jelasnya.
Sementara itu, Astro Audio menyatakan kekesalan dengan insiden yang berlaku dan memohon maaf kepada semua pihak.
Terdahulu, tiga penyampai terbabit didakwa mencetus kontroversi apabila mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.
Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana ia penghinaan kepada tradisi Hindu.
Susulan itu, Kementerian Komunikasi dilapor mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan kakitangan stesen radio milik Astro itu.