KUALA LUMPUR – Bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) dijangka berada di pasaran sepenuhnya dalam minggu ini.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, ketika ini proses pengedaran daripada kilang, pemborong hingga kepada peruncit sedang berjalan.
Menurut beliau, proses edaran itu mengambil sedikit masa untuk diagihkan terutama ke kawasan luar bandar atas pelbagai faktor, antaranya logistik dan tenaga kerja.
“Ya (ada kawasan yang mengadu belum sampai bekalan beras), ini cuma pada hari pertama dan kedua (program BPT ini dilaksanakan) sejak 1 Mac lalu kerana kebetulan ia jatuh pada Sabtu dan Ahad.
“Ini ambil kira pelbagai faktor, misalnya ada pekerja yang cuti pada hujung minggu jadi lori tak dapat hantar dalam kapasiti sepenuhnya BPT ini ke destinasi yang ditetapkan.
“Begitu juga dari segi ‘business arrangement’ (pengurusan perniagaan) oleh syarikat pengedar, pemborong dan peruncit, ada hari yang mereka melakukan kiraan stok dan sebagainya, jadi serba sedikit turut ganggu (edaran bekalan ke pasaran),” memetik laporan BH pada Selasa.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyegerakan usaha pemulihan bekalan BPT di pasaran.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri juga mengarahkan KPKM supaya memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan BPT secara berkala kepada rakyat.
Bagaimanapun, tinjauan yang dibuat di beberapa negeri mendapati beras kampit berkenaan buat masa ini masih tidak dijual di mana-mana pasar raya atau kedai runcit.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham memberi jaminan isu bekalan yang masih ‘tidak sampai’ di beberapa negeri atau lokasi dapat diselesaikan dalam minggu ini.
“Saya jangka dalam tempoh seminggu, edaran program ini (bekalan BPT bersubsidi) dapat diselesaikan.
“Pada masa sama, pegawai kita juga ditempatkan di lapangan untuk memastikan keberadaan bekalan.
“Semalam saya turut panggil semua 14 pemborong utama dan minta mereka berikan jaminan dari segi pengedaran supaya semuanya lancar dan pengguna dapat beli BPT ini di semua destinasi,” katanya.
Jelasnya, kesemua pemborong ini dikehendaki mengagihkan stok BPT di semua kawasan termasuk di luar bandar dan kawasan kampung.
“Mekanisme untuk edaran BPT ini sudah cantik, jadi kita tak usik bab itu. Seperkara lagi, kami tak mahu wujudnya pembelian panik dalam kalangan pengguna.
“Janganlah sampai ada yang berpusu-pusu ke pasar raya untuk borong beras, sedangkan jumlah yang ada ketika ini mencukupi untuk semua pengguna,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan kapasiti pengeluaran, setiap bulan sebanyak 40,000 tan beras bersubsidi akan diedarkan di seluruh Semenanjung.
Ini bermakna, sekitar empat juta kampit beras 10 kilogram akan dijual dan berada di pasaran setiap bulan.