KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan luruan angin sejuk atau luruan monsun yang dijangka melanda pada 8 hingga 14 Disember ini berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir di negeri Pantai Timur Semenanjung.
Ketua Pengarah MET Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, hujan lebat berterusan dalam tempoh berkenaan juga berpotensi melanda Sarawak dan Sabah, selain negeri-negeri di barat Semenanjung apabila intensiti luruan adalah kuat.
Menurutnya, luruan monsun akan turut menyebabkan angin kencang dan keadaan laut bergelora di Laut China Selatan.
“METMalaysia sentiasa memantau luruan monsun yang dijangka berlaku dalam tempoh seminggu bermula 8 hingga 14 Disember. Kita memantau situasi dan akan mengeluarkan amaran sebaik sahaja output model ramalan mencapai tahap keyakinan yang tinggi,” lapor BH pada Selasa.
Beliau menjelaskan, musim sejuk di hemisfera utara menyebabkan pembentukan kawasan tekanan udara yang tinggi di tanah besar China dan Siberia.
“Apabila intensiti tekanan udara terlalu tinggi, ia akhirnya akan meletus dan seterusnya menghasilkan luruan angin sejuk yang akan bergerak melalui Laut China Selatan dan seterusnya ke pantai timur Semenanjung serta perairan Sabah serta Sarawak,” katanya.
Ditanya sama ada gelombang kedua banjir yang diramalkan akan lebih buruk berbanding bencana itu ketika ini, Hisham berkata, METMalaysia masih memantau situasi dan akan mengeluarkan amaran awal.
Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa merujuk lamanweb www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.