Malaysia pantau rapat amaran Trump – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia selaku negara rakan BRICS, akan mengikuti rapat perkembangan berkaitan ancaman bakal Presiden Donald Trump mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara-negara perkumpulan itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, laporan sebelum ini menyatakan pemimpin Amerika Syarikat (AS) itu mengancam untuk mengenakan tarif ke atas negara-negara BRICS yang kini dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, jika perkumpulan itu menggantikan penggunaan dolar AS.

“Kita bukan negara anggota BRICS…kita hanya negara yang baru menjadi rakan BRICS. Bagaimanapun, kita akan terus memantau rapat sebarang perkembangan yang mungkin turut memberi kesan, bukan saja kepada negara anggota BRICS.

“Malaysia, sepertimana yang saya nyatakan sebelum ini, adalah terbuka untuk perniagaan. Kita juga terbuka bagi tujuan perdagangan dan saya percaya kita juga perlu terlibat dengan semua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran detik penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), pada Selasa.

Dalam perkembangan sama Tengku Zafrul berkata beliau sendiri percaya penyertaan Malaysia dalam platform perdagangan pelbagai hala adalah penting untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi selain mengekalkan kemakmuran dan kestabilan.

“Kita percayakan platform pelbagai hala yang wujud hari ini di banyak negara, termasuk CPTPP. Kita juga gembira bahawa UK yang juga salah satu daripada negara-negara Kumpulan Tujuh (G7), turut menyertai CPTPP,” lapor Bernama.

Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British Ke Malaysia David Wallace berkata ketika segelintir negara menyatakan hasrat untuk menaikkan tarif, UK sebaliknya berusaha untuk mengurangkannya dengan menyertai CPTPP.

UK dijadual menyertai CPTPP pada 15 Dis, 2024.

Pada 1 Dis lalu, bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa tarif import sebanyak 100 peratus akan dikenakan kepada negara-negara anggota BRICS sekiranya ia meneruskan rancangan untuk mewujudkan mata wang baharu, lapor agensi berita United Press International (UPI).

BRICS merupakan gabungan lima negara awal yang menganggotainya iaitu Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan sebelum disertai Iran, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Ethiopia tahun ini.

Menulis di platform media sosial Truth Social miliknya, Trump berkata, negara-negara itu akan dikenakan tarif tersebut jika mewujudkan mata wang baharu bagi menggantikan dolar AS.

“Sangkaan bahawa negara-negara BRICS cuba beralih daripada dolar dan kami (AS) hanya berdiri dan melihat sahaja, sudah berakhir.

“Kami memerlukan komitmen dari negara-negara ini (anggota BRICS) bahawa mereka tidak akan mencipta mata wang baharu mahupun menyokong mana-mana mata wang lain bagi menggantikan dolar AS,” tulisnya.

Presiden Russia, Vladimir Putin berkata semasa sidang kemuncak BRICS 2023 di Johannesburg bahawa negara-negara anggota harus bekerjasama rapat dalam mengatasi halangan bagi mewujudkan mata wang bersama untuk mencabar dolar AS dan Euro.

Pada sidang kemuncak negara BRICS 2024 di Russia bulan lalu, ahli-ahli baharu blok tersebut, Arab Saudi, UAE, Mesir, Iran dan Ethiopia turut hadir tetapi tiada perbincangan secara jelas tentang mewujudkan mata wang baharu.

Lewat Jumaat lalu, Trump berikrar akan mengenakan tarif import 25 peratus ke atas semua produk dari Kanada dan Mexico melainkan kedua-dua negara itu meningkatkan usaha untuk menghentikan penyeludupan dadah seperti fentanyl dan pendatang tanpa izin ke AS.

Dalam minggu ini, Trump juga mengeluarkan ancaman bahawa China akan menghadapi kenaikan tarif sebanyak 10 peratus sehingga ia menghentikan aliran bahan kimia prekursor yang digunakan dalam pembuatan fentanyl.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat