SEREMBAN– Kumpulan veteran DAP Negeri Sembilan menggemparkan sidang media pagi ini dengan memakai pelitup muka berbentuk tuala wanita sebagai simbol protes terhadap cadangan pelantikan Vincent Wu Him Ven, yang dilihat sebagai “orang luar”, sebagai senator negeri tersebut.
Memetik laporan Malaysiakini, lebih 50 veteran dan wakil cawangan parti hadiri protes tersebut. Mereka menyifatkan tindakan jawatankuasa parti negeri sebagai “menggadai kepentingan rakyat Negeri Sembilan.”
Pengerusi kelab veteran, Lee Kong Hin, menjelaskan simbol pelitup muka itu digunakan sebagai sindiran terhadap jawatankuasa negeri kerana tidak bertindak meskipun menerima maklum balas akar umbi.
“Pelitup muka ini tebal, padat, sangat menyerap, dan kalis bunyi – ia menggambarkan betapa senyapnya mereka,” ujarnya dalam sidang media.
Pada majlis itu, hadirin turut melaungkan slogan “Tolak orang luar! Siapa dia?”, menegaskan ketidakpuasan terhadap calon yang dikatakan tidak berasal dari negeri tersebut.
Lee turut mempertikaikan kenapa jawatankuasa DAP tidak mempertimbangkan calon tempatan yang dicadangkan sejak Jun lalu, antaranya peguam, doktor dan profesional lain, termasuk Lim Yau Sin dan Mary Josephine Pritam Singh.
Beliau berkata: > “Adakah kami semua telah mati? Ini satu penghinaan kepada ahli DAP Negeri Sembilan. Kami bukan bodoh.”
Veteran DAP Negeri Sembilan mendesak agar cadangan pelantikan tersebut ditarik balik serta memberi keutamaan kepada calon anak jati negeri. Mereka turut memberi amaran kemungkinan mengadakan protes lebih besar jika tuntutan tidak diendahkan oleh jawatankuasa.



