Plenary Hall Kuala Lumpur menjadi saksi kepada satu malam yang penuh magis apabila penyanyi Indonesia yang bersuara unik dan berjiwa besar, Cakra Khan, mempersembahkan konsertnya di Malaysia bertajuk “DIVINE”, sempena pelancaran album terbarunya yang membawa judul sama. Dianjurkan oleh Shiraz Project, konsert tersebut menghimpunkan seramai 2,500 penonton yang hadir untuk menyaksikan kehebatan vokal dan emosi seorang penyanyi yang tidak pernah gagal meninggalkan kesan di hati pendengarnya.
Cakra Khan terkenal dengan suara khasnya serak, tetapi penuh karakter dan emosional. Vokalnya bukan sekadar alunan nota, tetapi seumpama curahan jiwa yang menghidupkan setiap lirik lagu, terutama dalam genre balada dan blues. Konsert ini bukan hanya hiburan, tetapi sebuah penceritaan tentang kehilangan, cinta, harapan dan penerimaan selari dengan tema besar yang terkandung dalam album “DIVINE”.
Konsert dimulakan tepat jam 8.30 malam dengan lagu pembukaan “Setelah Kau Tiada”, sebuah balada yang mendalam dan menyayat hati. Cakra tidak mengambil masa lama untuk menguasai pentas; dari bait pertama, suaranya terus meresap ke dalam jiwa penonton.
Lagu seterusnya, “Persinggahanmu”, dibawakan dalam susunan baharu yang lebih dramatik. Cakra menyampaikan liriknya dengan penuh penghayatan, seolah-olah berkongsi cerita peribadi. Diikuti dengan “Mencari Cinta Sejati”, suasana terus tenggelam dalam emosi dan pencarian cinta yang tulus.
Suasana berubah sedikit apabila lagu “Kau Memilih Dia” dimainkan. Penonton dapat merasai konflik batin seorang yang ditinggalkan dan tidak dipilih. Ini diikuti oleh “Salah Tapi Baik”, sebuah lagu yang menyampaikan paradoks cinta yang tidak rasional, tetapi masih dirindui.
Kemudian, Cakra mempersembahkan “Nanti”, juga dengan susunan baharu yang lebih minimalis dan menyentuh. Lagu ini membawa penonton kepada harapan yang tertangguh – suatu tema yang sangat dekat dengan pengalaman ramai.
Segmen kolaborasi dimulakan dengan “Rindu Tak Bersuara” bersama Trio XL. Gabungan harmoni mereka menambahkan dimensi baharu kepada lagu yang penuh kerinduan itu.
Lagu seterusnya, “Adalah Aku” dengan susunan baharu, memberikan suasana yang introspektif sebelum diikuti oleh “Tak Sejalan”, yang membicarakan perpisahan yang tidak dapat dielakkan.
Kemudian pentas diserikan dengan kehadiran Titi DJ dan Faizal Lubis untuk membawakan lagu “Layar”, diikuti oleh “Sang Dewi”. Kedua-dua lagu ini menaikkan tahap persembahan dengan vokal yang harmoni, megah dan berkelas antarabangsa.
Selepas kolaborasi yang memukau, Cakra menyanyikan “Take The Pain” – lagu yang mencerminkan kekuatan menghadapi derita. Ini diikuti dengan “Cahaya”, yang menjadi simbol harapan, dan membawa suasana kepada nada yang lebih terang dan positif.

Kemudian, pentas kembali bergema dengan sorakan apabila Marsha Milan muncul untuk menyanyikan lagu duet popular mereka, “Seluruh Cinta”. Penonton turut menyanyi bersama, mencipta momen yang penuh emosi. Marsha kemudian mempersembahkan lagu solonya, “Hening Rindu”, yang mendapat tepukan gemuruh.
Kembali ke solo, Cakra mempersembahkan “Kepada Hati”, satu puisi jiwa yang menggambarkan perbualan dalaman tentang luka dan kesedaran. Lagu ini diteruskan dengan “Terlanjur Cinta”, sebuah lagu yang menyentuh tema hubungan yang sudah terlalu jauh untuk berpatah balik.
Kemudian, Ade Govinda menyertai Cakra di atas pentas untuk segmen istimewa yang menghangatkan suasana mereka menyanyikan tiga lagu berturut-turut: “Masing-Masing”, “Hal Hebat”, dan “Kamu Adalah”. Ketiga-tiga lagu ini memperlihatkan keserasian dan keakraban antara dua penyanyi yang saling menghormati karya masing-masing.

Menuju ke penutup, Cakra menyanyikan “Mencintaimu”, disusuli medley rancak “Treasure ~ Never Felt So Good ~ September” yang memeriahkan suasana dan memberikan sedikit elemen kejutan serta hiburan ringan kepada penonton.
Sebagai penghujung utama, Cakra mempersembahkan rangkaian lagu yang paling dinanti-nantikan “Bunyi Gitar”, “Kekasih Bayangan”, dan “Harus Terpisah”. Ketiga-tiga lagu ini menjadi kemuncak emosi, dengan penonton turut sama menyanyi dan memberikan penghormatan kepada karya-karya yang telah menjadikan Cakra nama besar di rantau ini.
Sebagai encore, Cakra kembali ke pentas dan mempersembahkan lagu ikonik “I Will Always Love You” yang dipopularkan oleh Whitney Houston. Versi Cakra penuh penghayatan, dan memperlihatkan kekuatan vokalnya yang mampu membawa lagu besar dunia dengan identiti tersendiri.
Konsert “DIVINE” membuktikan bahawa Cakra Khan bukan sekadar penyanyi, tetapi seorang pencerita, penyampai rasa, dan penyembuh luka. Dengan suara yang serak namun emosional, beliau berjaya menyentuh perasaan setiap individu di dalam dewan.
Lebih daripada sekadar mempromosikan album, malam tersebut menjadi pementasan hidup kepada isi dan semangat album “DIVINE”. Ia adalah bukti bahawa muzik, apabila lahir dari kejujuran dan pengalaman, akan sentiasa menemui tempatnya di hati manusia.



