‘Usah boikot AIM 23’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 hanya mengadili karya tempatan yang diterbitkan dari 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun lalu bagi memastikan acara berprestij mengiktiraf penggiat muzik itu relevan.

Menyedari banyak produk muzik diterbitkan selepas kali terakhir AIM dipentaskan pada 2016, penganjur bagaimanapun memutuskan hanya karya terkini dihakimi demi berlaku adil dan selaras evolusi industri muzik semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 23, Rosmin Hashim berkata, pihaknya yakin syarat pencalonan tidak dipertikai atau diboikot penggiat industri muzik yang faham dengan situasi semasa dan apa yang berlaku ke atas penganjuran acara anugerah itu.

“Selepas berbincang dengan Ahli Majlis Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), kami capai kata sepakat memilih karya yang diterbitkan dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun lalu agar AIM 23 terkini dan relevan.

“Pada mulanya, kami berhasrat membuka penyertaan untuk lagu dan album diterbitkan sejak 2017, namun, selepas mengambil kira semua faktor, kami putuskan hanya karya yang diterbitkan sejak setahun setengah lalu layak dipertandingkan,” katanya pada majlis pelancaran dan sidang media AIM 23 di ibu negara, kelmarin.

Rosmin berharap tiada penggiat industri muzik memboikot syarat pencalonan AIM 23 dan faham dengan situasi dihadapi penganjur.

“Mungkin tiada rezeki bagi karya yang dihasilkan sepanjang tempoh hampir enam tahun AIM ditangguhkan. Namun, sepanjang tempoh itu, pengkarya masih berpeluang bertanding dalam acara anugerah lain.

“Kami tidak dapat mengelak jika ada penggiat seni yang tidak berpuas hati atau ingin memboikot syarat ditetapkan. Namun, mereka harus ingat, acara anugerah ini dianjurkan khas untuk mereka.

“Jadi, kami harap mereka faham dengan situasi yang berlaku,” katanya.

Selepas hampir enam tahun ditangguh berikutan masalah tajaan selain negara berdepan penularan pandemik COVID-19, AIM 23 akan disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 September depan.

AIM yang diperkenalkan sejak 1993 itu disiarkan Astro Ria mulai jam 9 malam.

 

AIM 23 disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disiarkan menerusi Astro Ria pada 11 September depan. - NSTP/Hazreen Mohamad
AIM 23 disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disiarkan menerusi Astro Ria pada 11 September depan. – NSTP/Hazreen Mohamad

 

Rosmin berkata, penganjuran AIM 23 tidak dilakukan terburu-buru, sebaliknya dirancang sejak awal tahun ini sehingga penganjur mencapai persetujuan dengan stesen penyiar.

“Kami tidak pernah rancang untuk berehat enam tahun. Selepas 2016, industri muzik berdepan cabaran daripada sudut pendapatan yang jatuh merudum.

“Sehubungan itu, RIM tidak dapat memberi tumpuan kepada kerja pembangunan industri. Selepas berdepan cabaran daripada segi pendapatan, kita diuji pula dengan pandemik COVID-19.

“Ini menyebabkan AIM tertangguh lama. Jadi, apabila melihat industri kembali pulih, barulah kami dapat melakukan kerja rundingan dengan stesen penyiar bagi menganjurkan AIM lebih awal,” katanya.

Rosmin turut memberi jaminan AIM akan terus dianjurkan supaya penggiat industri muzik tidak terlepas daripada mencalonkan produk masing-masing.

Apatah lagi, tambah Rosmin, AIM sentiasa dinantikan warga industri muzik, berbeza dengan acara anugerah lain kerana penilaian dibuat juri profesional yang pakar dalam industri muzik tempatan.

Sementara itu, Rosmin mengumumkan pemansuhan AIM dalam versi Mandarin dan Tamil, sebaliknya, calon yang layak dimasukkan dalam kategori Anugerah Utama sejajar konsep Keluarga Malaysia.

Pada edisi ke-23, sebanyak 26 kategori dipertandingkan termasuk tiga anugerah baharu iaitu Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik dan Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan Artis Asing.

Pencalonan AIM 23 dibuka sejak 27 Julai lalu sehingga 5 Ogos ini, jam 5 petang.

Antara kategori dipertandingkan adalah Artis Baharu Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik, Video Muzik Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik, Video Muzik Terbaik dan lain-lain.

Kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan Artis Asing kembali diperkenalkan tahun ini, manakala kategori Lagu Paling Banyak Dimuat Turun digugurkan berikutan orang ramai memilih kaedah penstriman.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat