Saya bukannya kacang lupakan kulit – Fizi

- Advertisement -

PETALING JAYA: Penyampai baharu Hot FM, Fizi Ali mengakui, membuat kesilapan apabila meninggalkan stesen radio Suria FM dalam keadaan tergesa-gesa hingga menimbulkan rasa kecewa kepada pengurusan tertinggi.

Namun, jelas Fizi atau nama sebenar, Mohd Hafizudin Alimudin, 33, dia tetap bersikap profesional apabila memaklumkan berita penghijrahan lebih awal dan keputusannya mendapat restu bekas majikannya itu.

“Kalau nak anggap saya tinggalkan Suria FM dalam keadaan mengejut, itu tidak boleh dinafikan.

“Saya akui, ada melakukan kesilapan. Cuma, sebelum berhijrah, saya ada minta restu bekas majikan dan rakan di Suria FM.

“Saya bukannya pergi begitu sahaja. Malah, ketika memaklumkan berita ini, mereka merestui keputusan saya jika niat saya mahu mengembangkan kerjaya.

“Saya berbesar hati dengan jawapan diberikan dan saya tak terfikir ada masalah di situ,” kepada BH Online.

Membuktikan dirinya bukan kacang lupakan kulit, Fizi mendedahkan, dia turut memohon maaf kepada bekas majikan dan rakan penyampai sebelum meninggalkan Suria FM secara rasmi pada 26 Julai lalu.

“Saya jumpa setiap orang dan mohon maaf jika saya membuat kesilapan atau terkasar bahasa.

“Jika ada terkilan atau kecewa, saya memang tak tahu apa-apa,” ujarnya ketika ditemui pada sesi Santai Jom Bekpes Bersama Hot FM di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, hari ini.

Fizi berkata demikian mengulas kenyataan dikeluarkan Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin yang mendedahkan stesen radio itu terpaksa menanggung kerugian lebih RM50,000 apabila Fizi meninggalkan stesen radio pada saat-saat akhir.

Kerugian berlaku susulan stesen radio berkenaan terpaksa menukar semula bentuk promosi program Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell yang sepatutnya disertai Fizi sebelum memutuskan berhijrah.

Perubahan itu membabitkan pembaziran wang kerana perlu merakam semula video promosi, poster dan pelekat pada bas.

 

Fizi bercita-cita mengembangkan bakat dalam bidang pengacaraan, enggan melengah-lengahkan peluang keemasan. - NSTP/Aziah Azmee
Fizi bercita-cita mengembangkan bakat dalam bidang pengacaraan, enggan melengah-lengahkan peluang keemasan. – NSTP/Aziah Azmee

 

Tegas Fizi, dia enggan melengah-lengahkan peluang yang datang kerana tawaran itu ibarat bulan jatuh ke riba.

“Tawaran datang hanya sekali, saya tak mahu mensia-siakan peluang yang ada. Malah, ibu bapa saya juga bersetuju dengan keputusan penghijrahan ini.

“Kerana mereka melihat ia adalah satu peluang untuk saya mengembangkan kerjaya dalam bidang pengacaraan.

“Manalah tahu ada peluang untuk saya mengembangkan bakat menjadi pengacara di kaca televisyen. Saya juga mempunyai cita-cita mengendalikan acara berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL),” ujarnya.

Mengulas pengalaman hari pertama mengendalikan segmen Hot FM Sembang Squad bersama Fad Bocey, semalam, Fizi berkata, mereka mendapat maklum balas positif pendengar.

“Semalam, kami membuka panggilan dan rata-rata pemanggil mengucapkan selamat berjaya kepada saya dan Fad.

“Tiada peminat marah pun. Kami mudah mencipta keserasian kerana Fad memberi kerjasama cukup baik.

“Insya-Allah, kami akan memberikan yang terbaik kepada pendengar,” janjinya.

Terdahulu, spekulasi Fizi bakal meninggalkan Suria FM hangat diperkatakan, minggu lalu.

Fizi menamatkan tanda tanya itu menerusi hantaran dalam Instagram (IG) apabila berkongsi visual memulangkan kad identiti stesen radio itu atas meja sebagai tanda perkhidmatan dengan Suria FM sudah berakhir.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat