T30 tawan Kinabalu

- Advertisement -

IMPIAN 30 peserta daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjadi realiti apabila berjaya mengibarkan logo korporat terbesar di gunung tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu.

Kejayaan membentangkan logo bersaiz 17.8 meter (tinggi), 12.8 meter (lebar) dengan berat bendera 30 kilogram pada ketinggian 4,095 meter itu sekali gus mencipta rekod dalam Malaysian Book of Records (MBOR) pada 15 Disember lalu.

Penulis yang turut serta dalam Ekspedisi T30 Puncak Gunung Kinabalu itu turut merasa bangga apabila terdapat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bukan sekadar memainkan peranannya untuk mensejahterakan perbandaran yang dinaunginya semata-mata.

Malah turut melakukan rekod yang memerlukan komitmen tinggi daripada barisan kakitangan yang terbabit.

LALUAN bertangga antara cabaran sebelum ke Kem Induk Panalaban.
LALUAN bertangga antara cabaran sebelum ke Kem Induk Panalaban.

 

Ekspedisi T30 Puncak Gunung Kinabalu adalah kemuncak kepada sambutan ulang tahun penubuhan MPAJ ke-30. Ekpedisi itu juga dikenali sebagai T30 kerana huruf ‘T’ membawa maksud tahun dan tawan. Manakala 30 adalah bilangan 30 orang peserta dan ulang tahun ke-30 itu.

Lebih manis ekspedisi itu turut disertai persatuan pendakian profesional negara, Persatuan Kembara Negara yang sudah melahirkan pendaki-pendaki ke Gunung Everest termasuk mencipta sejarah melahirkan wanita pertama Malaysia ke puncak dunia itu pada 2007.

Ketika ekspedisi itu berlangsung, penulis dapat melihat semangat membara barisan peserta terdiri daripada kakitangan MPAJ yang diketuai Pengarah Jabatan Belia, Masyarakat dan Landskap, Khairilazhar Ismail.

Memulakan pendakian sekitar jam 9 pagi di pintu masuk Timpohon, ‘gerombolan’ 30 peserta berona biru membarisi jalur pendakian itu.

Meskipun pada hari pertama yang mengambil jarak hanya enam kilometer menuju ke kem induk Gunung Kinabalu iaitu Panalaban, namun bukan sesuatu perkara yang mudah.

Apatah lagi, majoriti barisan pendaki tidak pernah mendaki ke gunung tertinggi di Malaysia itu yang sudah semestinya mempunyai potensi untuk mendapat penyakit akut gunung (AMS) memandangkan puncak gunung itu sudah melebihi daripada 3,500 meter.

 

PENDAKIAN ke Panalaban yang melalui pelbagai bentuk muka bumi.
PENDAKIAN ke Panalaban yang melalui pelbagai bentuk muka bumi.

 

Jalur pendakian Timpohon yang begitu terkenal dengan laluan bertangga dan mencanak sepanjang enam kilometer itu lebih memberi cabaran kepada barisan peserta untuk mempunyai kekuatan fizikal khasnya.

Meskipun cuaca sedikit menyebelahi barisan peserta pada hari itu, namun kabus tebal bersulam suasana sejuk sudah pasti menjadi antara cabaran.

Lebih mendebarkan, sehari sebelum ekspedisi bermula, unjuran cuaca menunjukkan kawasan pendakian hujan pada jam 2 petang.

Sudah semestinya, apabila hujan pendakian menjadi lebih mencabar kerana suasana akan bertambah sejuk. Mujur pada hari pertama, unjuran cuaca itu meleset.

 

BARISAN peserta di KLIA sebelum bertolak ke Sabah.
BARISAN peserta di KLIA sebelum bertolak ke Sabah.

 

Usai melalui pendakian yang mencanak dan bertangga, tepat jam 3.40 petang peserta pertama tiba di Kem Induk Panalaban dan keseluruhan peserta tiba sekitar jam 5 petang.

Sebaik tiba di kem induk itu, waktu rehat digunakan sepenuhnya barisan peserta untuk membersihkan diri berehat dan mengisi perut kerana pada jam 12.30 pagi, perjalanan menuju ke puncak menjadi ‘hidangan’ seterusnya.

Meskipun pada jam seawal jam 11.30 malam, mimpi dari lena perlu bertitik noktah, barisan pendaki masih bersemangat untuk menuju ke puncak Gunung Kinabalu yang berbaki hanya dua kilometer sahaja dari kem induk.

 

LALUAN mencanak dan sejuk menjadi cabaran pendakian di awal pagi.
LALUAN mencanak dan sejuk menjadi cabaran pendakian di awal pagi.

 

Perjalanan dua kilometer itu dari segi jarak mungkin merasa tidak begitu panjang bagi si pelari denai khasnya tetapi bentuk muka bumi yang berhampar batu dan mencanak sudah pasti mengambil masa yang panjang.

Suasana sejuk menjadi peneman sepanjang awal pagi menuju ke puncak. Angin ‘tegas’ daripada maha kuasa ke ketika ke puncak bukan pengalaman yang indah, ketika itu.

Penulis sendiri yang sudah beberapa kali ke gunung itu tidak dapat menafikan kesejukan pendakian kali ini. Melihat kepada data jam pintar, rupanya suhu semasa sudah berkadar negatif dua.

 

KUMPULAN terawal tiba di puncak Kinabalu pada jam 5.50 pagi.
KUMPULAN terawal tiba di puncak Kinabalu pada jam 5.50 pagi.

 

Dapat berehat sebentar di Pondok Sayat-sayat di ketinggian sekitar 3,668 meter sudah pasti mengecaj tenaga kembali kepada barisan peserta yang menyasarkan untuk tiba ke puncak menyaksikan matahari terbit.

Syukur, kumpulan pertama tiba di puncak Kinabalu pada jam 5.50 pagi dan merakam gambar secepat mungkin kerana kedudukan papan tanda puncak berada di tempat yang terhad akan menjadi rebutan ramai pendaki untuk merakam memori kejayaan menawan puncak Gunung Kinabalu.

Pada jam sekitar 7 pagi, kerja-kerja membentangkan logo terbesar menjadi perkara utama di kilometer 8 dan tugas itu bukan mudah kerana angin bertiup begitu kuat.

Dengan kekuatan 30 barisan peserta tugasan itu dapat dilaksanakan dan satu lagi sejarah MBOR tercatat, apabila logo MPAJ mejadi logo korporat terbesar di puncak Gunung Kinabalu.

 

MPAJ berjaya merekodkan logo korporat terbesar di puncak Kinabalu di dalam MBOR.
MPAJ berjaya merekodkan logo korporat terbesar di puncak Kinabalu di dalam MBOR.

 

Majlis penyerahan sijil MBOR dilakukan di lokasi itu oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong Hong Wai yang turut menyertai ekspedisi itu kepada Khairilazhar.

Rasa kepuasan terbit daripada barisan peserta sebaik sahaja sijil itu diserahkan kepada MPAJ. Lebih mengamit kenangan pastinya kepulangan mereka ibarat adiwira di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), disambut penuh bangga Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim atas kejayaan itu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat