Empat bulan ‘diganggu’ lori pasir

- Advertisement -

Oleh: NIK SYUKRI RAMLI

KUANTAN : Sejak empat bulan lalu, penduduk Kampung Bukit Palas, dekat Cherating, terpaksa menjalani rutin harian bersama debu daripada lori membawa muatan pasir yang berulang-alik di kampung mereka.

Kehadiran puluhan lori itu bukan sahaja mengakibatkan risiko keselamatan penduduk, terutamanya kanak-kanak, bahkan turut merosakkan jalan yang digunakan mereka sejak sekian lama.

Bekas pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kesejahteraan kampung (JKKK) kampung itu, Ahmad Tambun berkata, sikap pemandu lori pasir yang menggunakan jalan berkenaan juga sangat tidak berbahaya dan seperti tidak menghormati penduduk di situ.

“Lori (pasir) ini beroperasi dari pagi sampai lewat petang dan boleh dikatakan hampir setiap hari, mereka gunakan laluan yang kami guna untuk menghantar anak ke sekolah dan untuk kami keluar menjalankan urusan harian.

“Sejak bulan September lalu, beginilah keadaan jalan kampung kami, berdebu dan saya percaya kalau aktiviti mengangkut pasir berterusan tanpa kawalan, jalan ini pula akan rosak.

“Jalan kampung ini saya dan penduduk usahakan sejak tahun 2012, kami minta dengan bekas ahli parlimen (Indera Mahkota), Datuk Wan Adnan Wan Mamat dan kalau boleh pemilik syarikat lori pasir bertimbang rasa sikitlah dengan kami,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahmad Tambun berkata, jalan kampung itu dibina menggunakan peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan jika berlaku kerosakan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mempunyai kuasa untuk membaikinya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rakiah Yusop berkata, kehadiran lori pasir itu bukan satu-satunya masalah dihadapi penduduk Kampung Bukit Palas, tetapi pihak syarikat berkenaan turut menyewa tanah di kampung itu untuk dijadikan kawasan simpanan pasir mereka.

“Setiap hari terutama ketika cuaca panas, kami akan berdepan dengan masalah debu dari tempat simpanan pasir terbabit sehingga terpaksa menutup tingkap untuk mengelak masalah debu.

“Saya juga risau dengan kesihatan saya, anak serta cucu memandangkan saya sendiri menghidap penyakit asma dan masalah debu memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Difahamkan, pasir itu diangkut dari kawasan muara Pantai Cherating dan digunakan untuk projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan berhampiran.

Sementara itu, ahli dewan undangan negeri (ADUN) Semambu, Andansura Rabu ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil syarikat lori mengangkut pasir berkenaan berkata, satu jalan penyelesaian segera sudah dipersetujui oleh mereka.

“Mereka berjanji untuk membaiki jalan kampung ini jika berlaku kerosakan dan kita tengok apa tindakan mereka selepas ini.

“Sebenarnya, laluan ini bukan sahaja digunakan lori pasir, tapi di sebelah sini juga ada tempat simpanan kayu balak.

“Wakil syarikat mengendalikan simpanan balak juga menyatakan kesediaan mereka untuk memberikan kerjasama jika jalan ini rosak dan mereka akan baiki,” katanya.

Dia juga sudah menasihatkan wakil syarikat berkenaan supaya memberi peringatan kepada pemandu lori mereka supaya lebih peka dengan keselamatan penduduk ketika menggunakan jalan berkenaan.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat