KUALA LUMPUR – Hadiah, sumbangan, atau apa-apa kemudahan yang diberikan kepada seseorang yang berjawatan tinggi boleh menjadi tujuan rasuah yang diharamkan dan termasuk dalam dosa besar yang dilaknat Allah terhadap sesiapa yang terlibat dengannya.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Islam mentakrifkan rasuah dalam lapangan yang luas sehingga memasukkan segala pemberian, kerana kedudukan pangkat seseorang supaya mempengaruhi segala pengurusannya itu sebagai sogokan.
Namun kini katanya, perkara itu dianggap biasa sahaja malah dipandang ringan dan tanpa rasa bersalah oleh pihak yang berkuasa, apabila dengan jawatannya, diberikan kepadanya kemudahan yang bersifat habuan kewangan, barangan berharga, kenderaan kereta, sehinggalah kapal terbang peribadi, rumah kediaman, dan sebagainya atas nama hadiah daripada yang berkepentingan.
“Hal ini adalah bagi mempengaruhi supaya meluluskan segala permohonannya pada masa kini atau masa hadapan.
“Islam tetap meletakkannya dalam senarai rasuah harta haram. Inilah akibat daripada mereka menghalalkan harta yang diharamkan oleh Allah.
“Lebih parah dosanya, apabila nama rasuah ditukar kepada hadiah dan sumbangan kebajikan,”kata Hadi dalam catatan Minda Presiden Pas pada Isnin.