KUALA LUMPUR – Situasi banjir seluruh negara kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan, kata Timbalan Perdana Menteri.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, setakat jam 1 petang 2 Dis 2024, hanya 561 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi.
“Alhamdulillah, situasi banjir di seluruh negara kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
” Jumlah PPS yang beroperasi setakat jam 1 petang ini telah menunjukkan tren penurunan sebanyak 13.69 peratus dengan hanya 561 PPS yang masih dibuka manakala jumlah keluarga yang terjejas akibat banjir juga telah berkurang sebanyak 8.7 peratus, melibatkan seramai 37,759 keluarga.
“Di Kelantan, sebanyak 217 PPS masih beroperasi, menurun sebanyak 11.07 peratus, manakala jumlah keluarga yang terkesan turut berkurang sebanyak 9.57 peratus kepada 24,238 keluarga.
” Situasi di Terengganu juga semakin baik, dengan jumlah PPS menurun sebanyak 16.25 peratus kepada 237 dan jumlah keluarga terjejas berkurang sebanyak 6.14 peratus kepada 9,990,” kata Zahid dalam kenyataan media pada Isnin.
Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi, walaupun keadaan ini membawa sedikit kelegaan, saya ingin menasihatkan semua agar terus berhati-hati dan mengutamakan keselamatan.
“Janganlah bermain atau mendedahkan diri kepada air banjir, walaupun paras air semakin surut. Air banjir sering tercemar dan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan seperti jangkitan kulit, penyakit bawaan air atau gigitan haiwan berbahaya.
“Selain itu, pastikan kebersihan diri dan kawasan tempat tinggal sentiasa dijaga, terutama selepas kembali ke rumah masing-masing nanti.
“Saya juga ingin mengingatkan agar semua pihak terus mematuhi arahan pihak berkuasa. Bagi yang masih berada di PPS, teruskan bersabar dan berikan kerjasama sebaiknya kepada pasukan penyelamat serta para petugas yang membantu.
“Saya sentiasa mendoakan agar keadaan ini terus bertambah baik hendaknya. Insya-Allah,” ujar Zahid lagi.