Sekarang Amanah dan Umno berkongsi kuasa, kalau itu tidak dinamakan politik Machiavelli, apa lagi namanya? – Fadhli tempelak Izham

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari ‘menyekolahkan’ Pengerusi Amanah Selangor Datuk Ir Izham Hashim yang sebelum itu mengingatkan orang Melayu agar tidak terpedaya dengan kempen perpaduan Melayu-Islam Umno dan Pas yang didakwanya sekadar helah untuk meraih kuasa politik.

Fadhli mengingatkan Izham supaya ‘tidak menampar air di dulang’. Katanya, bukankah Amanah dahulu lahir dengan alasan kononnya tidak bersetuju Pas bekerjasama dengan Umno?

Ujarnya, hari ini, bukankah Amanah dan Umno sama-sama duduk dalam kerajaan dan berkongsi kuasa? Kalau itu tidak dinamakan politik Machiavelli, apa lagi namanya?

“Jangan lupa, pernah ada pemimpin Amanah yang tergamak mengumpamakan Pas seperti seorang bapa yang mahu melacurkan anaknya kepada Umno. Begitu kotor sekali bahasa yang digunakan, barangkali mencerminkan pemikiran yang tidak lebih bersih daripada kata-kata yang dilontarkan.

“Sekarang, siapa sebenarnya yang sedang melakukan apa yang dahulu mereka hina? Adakah ketika Amanah bekerjasama dengan Umno, ia dinamakan kebijaksanaan politik manakala ketika Pas dan PN mengambil pendekatan sedemikian berdepan dengan siri pilihan raya negeri, tiba-tiba kami dilabel Machiavelli?

“Izham jangan lupa titah Sultan Selangor ketika pembukaan sidang DUN Selangor yang kemudiannya mendapat bantahan secara halus daripada seorang Adun DAP. Siapa sebenarnya yang dilihat mempertikaikan titah Raja Melayu dalam dewan yang persidangannya sendiri dibuka dengan titah baginda? Bukankah titah Sultan Selangor kemudiannya menyebut dengan jelas nama pemimpin DAP yang diminta mempelajari semula Rukun Negara?

“Mengapa dalam hal ini Izham tidak pula lantang berbicara tentang prinsip dan penghormatan terhadap institusi diraja? Sebagai Pengerusi Amanah Selangor, janganlah terlalu sibuk mencari kuman di seberang laut sehingga gajah di depan mata sendiri pura-pura tidak nampak.

“Nasihat saya kepada Izham, nikmatilah hari-hari terakhir sebagai kerajaan di Selangor dan di Putrajaya. Gunakanlah kesempatan yang masih berbaki untuk menabur bakti kepada rakyat supaya apabila suatu hari nanti terkeluar daripada kerajaan, sekurang-kurangnya ada jasa yang boleh dikenang.

“Malangnya, kalau jasa pun tidak seberapa, rakyat pula ditekan dan ditindas di sana sini, akhirnya nasib politik mungkin tidak ubah seperti kain buruk pelapik kaki yang basah di hadapan tandas. Dipijak ketika diperlukan, kemudian dilupakan tanpa sesiapa pun berasa kehilangan. Jangan sampai hanya itulah warisan yang ditinggalkan,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim mengingatkan orang Melayu agar tidak terpedaya dengan kempen perpaduan Melayu-Islam Umno dan Pas yang didakwanya sekadar helah untuk meraih kuasa politik.

Beliau mengaitkan kritikannya terhadap Umno dan Pas dengan kemelut melibatkan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Tidak ada istilah setiakawan dan perjuangan berprinsip bagi mereka.

“Malah, jika raja sekalipun yang menghalang cita-cita mereka, raja dan Perlembagaan pun mereka sanggup langgar.

“Episod Negeri Sembilan ini jelas menunjukkan persekongkolan parti sakau dan parti pelampau dalam penderhakaan yang amat memalukan,” katanya.

Izham melabelkan kedua-dua parti itu sebagai pengamal politik “Machiavellian” dan menuduh mereka memperalatkan isu kaum serta agama demi kepentingan politik.

“Mereka sebenarnya bukanlah gabungan atau gagasan parti-parti yang membawa perpaduan Melayu-Islam.

“Bukan, itu semua hanya smokescreen (tabir asap – helah tutup niat sebenar). Semuanya tipu daya politik mereka semata-mata untuk mendapatkan kuasa.

“Sebaliknya, saya ulangi, mereka sebenarnya adalah pengamal Machiavellian. Mereka bercakap tentang Machiavellianisme, tetapi merekalah sebenarnya pengamalnya,” kata Adun Pandan Indah itu.

Dalam penggunaan umum, istilah “Machiavellian” merujuk kepada pendekatan muslihat licik atau manipulatif untuk mendapatkan kuasa atau kawalan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat