KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) yakin sokongan pengundi di kerusi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kekal positif hasil gerak kerja lapangan dan khidmat kepada rakyat dilaksanakan calon serta parti sejak 4 hingga 5 tahun lalu.
Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keyakinan itu bukan bersandarkan tempoh berkempen selama 2 minggu semata-mata, sebaliknya hasil usaha berterusan parti menyediakan sokongan dan memenuhi keperluan rakyat.
Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, meskipun pergerakan kempen sedikit perlahan pada dua hari pertama, momentum itu akan meningkat.
Katanya, sebahagian besar kempen ketika ini turut digerakkan menerusi media sosial berbanding pertemuan secara fizikal, namun program bertemu pengundi tetap berlangsung.
“Program pertemuan fizikal berlangsung, tetapi baru masuk tiga hari pertama. Saya percaya respons kita di beberapa kerusi tumpuan itu masih baik disebabkan kerja lapangan dilaksanakan calon ataupun pihak parti.
“Jadi, bukan soal dua minggu kempen, tetapi bagaimana kita melayan atau menyediakan sokongan kepada rakyat dalam tempoh dua hingga empat atau lima tahun lepas,” katanya selepas Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL & Mega NUTRISEL lapor BH di Shah Alam pada Isnin.
Media semalam melaporkan, PH menyandarkan pengalaman calon dalam tadbir urus dan perkhidmatan awam bagi mencapai sasaran memenangi 18 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN Melaka ke-16.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, gerak kerja kempen akan dipertingkatkan bagi memastikan penyelarasan jentera PH di peringkat negeri berjalan lancar.
Katanya, beliau sendiri akan turun ke Melaka esok atau lusa bagi menyelaras pergerakan kempen PH.



