13 kapal dipintas Israel, 30 lagi layar terus ke Gaza untuk pecah kepungan- GSF

KUALA LUMPUR – Penganjur misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) mengesahkan 13 kapal dalam konvoi bantuan ke Gaza dipintas oleh tentera laut Israel, namun 30 buah kapal lagi masih meneruskan pelayaran ke arah pesisir Gaza.

Dalam satu kenyataan rasmi, GSF menegaskan tindakan agresif Israel tidak akan menggagalkan usaha mereka membuka laluan bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu.

“Pemintasan haram oleh Israel tidak akan melemahkan kami. Misi ini akan diteruskan untuk memecahkan kepungan dan membuka koridor kemanusiaan ke Gaza,” katanya.

Konvoi flotila ini membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas kepada rakyat Palestin di Gaza, yang kini berdepan krisis kebuluran dan keperluan kesihatan akibat sekatan ketat Israel sejak bertahun-tahun lamanya.

Global Sumud Flotilla merupakan misi maritim bantuan kemanusiaan terbesar ke Gaza dalam beberapa tahun, melibatkan lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk tokoh terkenal dan wakil pertubuhan antarabangsa.

Penganjur memaklumkan kapal-kapal yang masih belayar kini berada dalam jarak kritikal dan dijangka menghampiri pantai Gaza dalam tempoh terdekat.

Misi GSF kini mendapat perhatian dan sokongan luas dari komuniti antarabangsa, dengan beberapa negara menyuarakan kecaman terhadap tindakan Israel yang dianggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa, khususnya hak pelayaran bebas di perairan antarabangsa.

Tekanan semakin meningkat terhadap Israel untuk menghentikan sekatan dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan, terutama ketika keadaan di Gaza semakin meruncing akibat kekurangan makanan, air bersih dan bekalan perubatan.

Pemintasan flotila oleh tentera Israel di perairan antarabangsa turut mencetuskan persoalan mengenai kesahihan tindakan ketenteraan terhadap misi yang jelas membawa bantuan bukan bersenjata.

Beberapa pertubuhan hak asasi manusia menyeru siasatan bebas dijalankan dan meminta pihak berkuasa antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agar campur tangan bagi memastikan keselamatan aktivis dan kapal bantuan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat