Malaysia Sokong Usaha Trump dengan syarat mengikut Resolusi PBB

PUTRAJAYA, – Malaysia melalui Wisma Putra menyatakan sokongan terhadap pengumuman Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump mengenai pelan komprehensif untuk menamatkan perang di Gaza, namun menegaskan sokongan itu hanya tertakluk jika pelaksanaannya selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam kenyataan rasmi, Wisma Putra menekankan pelan yang diumumkan di Washington pada 29 September lalu itu boleh menjadi langkah penting ke arah menamatkan jenayah genosid, kebuluran dan kemusnahan di Gaza.

Bagaimanapun, Malaysia menggariskan syarat utama agar ia dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan berlandaskan prinsip keadilan.

Antara syarat yang ditegaskan termasuklah memastikan bantuan kemanusiaan dapat dihantar tanpa halangan, pengunduran tentera Israel dari Gaza, jaminan kepulangan pelarian Palestin yang dipindahkan secara paksa, serta usaha membina semula wilayah itu.

Malaysia turut menekankan pelaksanaan pelan berkenaan mesti melindungi rakyat Palestin, menjamin keselamatan serantau, serta menyumbang ke arah kestabilan jangka panjang.

Dalam masa sama, Malaysia menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa dalam menyokong usaha keamanan Gaza.

Matlamat akhir, jelas Wisma Putra, adalah merealisasikan penubuhan sebuah Negara Palestin merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.- SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat