Oleh Zihan Zari
PAGOH – Sains adalah ilmu yang perlu diaplikasikan bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah.
Apa yang lebih penting dalam mempelajari ilmu teori adalah bagaimana kita menggunakan ilmu itu untuk menyelesaikan masalah dan yang lebih bermanfaat lagi ia dapat menjana pendapatan diri dan masyarakat, kata Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin.
Beliau berkata, ramai orang fikir sains itu susah dan hanya ada dalam buku teks atau ensiklopedia, tetapi sebenarnya, sains ada di mana-mana. Bila kita guna telefon pintar, itu sains. Bila kita tengok mesin ATM mengeluarkan duit, itu hasil teknologi.
Bila kita pakai aplikasi e-hailing untuk tempah teksi atau kereta, itu inovasi. Malah, bila ibu kita masak nasi guna periuk elektrik, itu juga sains dan teknologi.
Contohnya, projek Living Lab Muar yang menggabungkan kerjasama kerajaan Johor, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Pejabat Daerah Muar, Jabatan Pertanian Johor, syarikat serta komuniti setempat.
Katanya, melalui platform ini, anak muda, pelajar dan usahawan berpeluang menguji idea inovatif mereka termasuk aplikasi pertanian pintar, teknologi kitar semula sisa pertanian dan produk berasaskan bioteknologi.
Usaha ini membuktikan bahawa inovasi yang bermula dari kampung atau pekan kecil sentiasa mempunyai potensi untuk dikembangkan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Selatan di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Ahmad; Pengarah Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) MOSTI, Shahrizal Shahrudin; Pengarah Pusat Sains Negara (PSN), Mohammad Fuad Rahman.
Dalam pada itu, Aznan berkata, karnival ini dibawakan khas oleh MOSTI bukan hanya untuk pakar-pakar inovasi dan teknologi sahaja, tetapi lebih mendekati murid-murid sekolah, para mahasiswa, komuniti usahawan kecil, ibu bapa dan seluruh lapisan masyarakat.
Menurut beliau, melalui MSN, MOSTI bersama-sama Kerajaan Johor mahu menunjukkan bahawa sains itu dekat dengan hidup kita semua, dan jika kita faham serta kuasai sains, kita boleh jadi lebih kreatif, inovatif dan berjaya.
Menurutnya lagi, pemilihan Johor sebagai tuan rumah bagi lokasi karnival ini merupakan satu pengiktirafan kepada negeri yang kini sedang aktif dengan pelbagai usaha dalam memupuk minat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Antara usaha yang sedang aktif dilaksanakan iaitu , Johor Skills Hub iaitu pusat latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) & STEM yang memberi peluang kepada anak muda belajar kemahiran terkini.
Selain itu, program coding & robotik di sekolah-sekolah, bagi melatih pelajar dari usia muda serta kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dan universiti lain bagi menghasilkan inovasi seperti dron pertanian dan teknologi tenaga boleh baharu.
“Dengan kerjasama seluruh pihak daripada kerajaan pusat, negeri, swasta dan masyarakat ini, idea kecil anak-anak muda dan usahawan ini dikembangkan menjadi produk-produk yang mempunyai nilai di pasaran.
“Program ini membuktikan bahawa inovasi boleh bermula dari kampung atau bandar kecil, dan jika diberi peluang, ia boleh berkembang ke seluruh negara, malah ke luar negara.
“Untuk menjayakan semua ini, kerajaan negeri dan pusat percaya kepada konsep kerjasama pintar yang merangkumi, MOSTI di peringkat pusat sediakan dasar, dana dan kepakaran. Negeri ini pula menyediakan ruang, fasiliti dan bakat pelajar serta usahawan.
“Selain itu, Industri dan swasta pula bawa pengalaman sebenar dan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda serta
NGO serta ibu bapa pula main peranan menyokong anak-anak untuk terus berminat dengan STEM.
“ Dengan gabungan yang dinamakan ‘quadraple-helix’, kita percaya ia dapat membina satu ekosistem STEM yang kukuh untuk Johor dan seluruh Malaysia,”ujarnya.
“Jangan takut dengan sains. Anggaplah sains itu seperti kunci ajaib, kalau kamu pegang, kamu boleh buka banyak pintu peluang.
“Kalau suka melukis, boleh jadi pereka grafik digital. Kalau suka main game, boleh jadi pencipta game. Kalau suka tengok bintang, boleh jadi ahli astronomi. Kalau suka tanam sayur, boleh jadi pakar petani moden.
“Kepada ibu bapa pula, teruslah sokong minat anak-anak. Kadang-kadang minat mereka nampak kecil, tapi dengan dorongan, ia boleh jadi kerjaya besar suatu hari nanti, ”ujarnya lagi.
MOSTI dalam kenyataan berkata, Karnival MSN 2025 Zon Selatan di sini menjadi tumpuan apabila ribuan pengunjung hadir bagi merasai pengalaman meneroka ilmu pengetahuan dan aplikasi sains.
Katanya, anjuran karnival ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang dilaksanakan secara berterusan, dengan memberi tumpuan untuk mendekati murid-murid sekolah, mahasiswa, komuniti setempat, ibu bapa dan seluruh lapisan masyarakat.
MSN 2025 menandakan tahun ke-8 penganjurannya sejak dilancarkan pada 2018, sebagai komitmen berterusan MOSTI membudayakan STI dalam kalangan rakyat.
Inisiatif ini selari dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat dalam STI sebagai pemacu kemajuan negara.
Katanya lagi, MSN turut menjadi platform penting mencungkil minat generasi kecil masa kini terhadap STI dan sejak Mei lalu, MSN telah mengumpulkan lebih 58,000 penyertaan dari segenap lapisan masyarakat.
Ia adalah bukti sokongan masyarakat dalam melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Tambahnya, Program MSN 2025 dilaksanakan melalui tiga kaedah melibatkan Karnival MSN di enam zon seluruh Malaysia, penjelajahan ke sekolah-sekolah terpilih melalui Program MSN Kembara dan sokongan kepada penggiat pembudayaan STI melalui MSNTaja.
“Karnival MSN 2025 telah bermula di Sarawak pada bulan Mei, diikuti Terengganu, Sabah, Johor, Kedah dan berakhir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada November ini.
“Setiap lokasi akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang menarik termasuk pameran interaktif STEM, persembahan sains yang mengujakan, kuiz sains, bengkel pendidik dan pameran kerjaya berasaskan teknologi masa depan, ”tambahnya lagi.-SUARA.TV



