Matang tangani infodemik

- Advertisement -

KINI selepas hampir enam bulan berhadapan dengan situasi cukup membimbangkan, sebahagian besar rakyat Malaysia mula belajar untuk menjalani hidup dalam norma baharu dengan tenang, walaupun situasi pandemik Covid-19 masih belum reda dan pulih sepenuhnya.

Ternyata perubahan sikap kalangan rakyat Malaysia mendepani wabak meragut hampir 800,000 nyawa di seluruh dunia itu harus dipuji apabila sebahagian besar daripada kita mula tahu menilai dan bertanggungjawab dalam menerima dan menyebarkan setiap maklumat diterima membabitkan penularan Covid-19.

Isu panik disebabkan penyebaran dan perkongsian maklumat palsu menerusi media sosial mula berkurangan, walaupun kita didatangkan dengan berita peningkatan kes baharu membabitkan kluster Sivagangga sehingga mewujudkan jangkitan baharu seperti kluster Kurau, Meranti, Tawar dan Muda.

Ternyata usaha dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi Pasukan Respons Pantas (PRP) secara berterusan sehingga kini banyak membantu menangani isu berita palsu yang disebarkan di media sosial.

Memperbetulkan setiap kenyataan palsu yang berlegar di media sosial menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan kenyataan akhbar yang diedarkan kepada rakan media untuk dilaporkan kepada umum sedikit sebanyak berjaya mendidik masyarakat untuk tidak mudah menerima saja berita apatah lagi disebarkan kepada pihak lain.

Situasi ini ternyata berbeza apabila kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menangani wabak diisytiharkan satu pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac lalu.

Di Malaysia kes Covid-19 mula menular pada 25 Januari lalu membabitkan tiga warga China dari Wuhan yang memasuki Malaysia pada 23 Januari menerusi Singapura.

Sejak itu, kes positif mereka dijangkiti Covid-19 meningkat dan merebak dengan sangat pantas. Malah, dari 28 Februari hingga 14 Mac lalu banyak kes dilaporkan dan sehingga 1 April hampir 3,000 dijangkiti dengan membabitkan 45 kematian.

Berdepan cabaran besar dan mengelak penularan meningkat, kerajaan mengambil keputusan drastik dengan memutuskan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 bermula 18 Mac lalu.

Sebaik keputusan drastik itu diumumkan, kerajaan dan rakyat Malaysia turut berhadapan dengan sindrom baharu. Sebagaimana pantasnya virus Covid-19 merebak, begitu juga pelbagai berita palsu tular di aplikasi media sosial sehingga menimbulkan panik dalam kalangan kita.

Perkara itu turut diketengahkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan menegaskan dalam usaha menangani masalah berita palsu menerusi media sosial ini, kerajaan mengambil tindakan tegas dengan mendakwa mereka yang sengaja melakukan dan menyebarkan kenyataan tidak benar.

Membuktikan ketegasan dalam kenyataan itu, sepanjang tempoh tiga minggu PKP dilaksanakan, 184 kertas siasatan dibuka dan 20 kes didakwa di mahkamah terhadap penyebar berita palsu Covid-19 di media sosial.

Penyebaran berita palsu ini turut membimbangkan pihak KKM dan Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan dalam kenyataan diberikan sebelum ini, penyebaran berita palsu berkait Covid-19 dilihat ‘lebih cepat’ tersebar berbanding penularan virus itu sendiri.

Masalah yang dihadapi kerajaan dan rakyat membabitkan berita palsu bukan saja berlaku di Malaysia malah seluruh dunia.

Istilah baharu ‘infodemik’ diberikan kepada situasi yang sering menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan rakyat dalam berhadapan dengan ketidaktentuan, ditambah dengan kebimbangan setiap kali berita palsu disebarkan.

Memetik Dr Noor Hisham sebagai berkata, di waktu pendemik berlaku dan PKP dilaksanakan, ramai pengguna media baharu dan media sosial cuba ‘mengambil alih’ tugas wartawan dengan menyebarkan maklumat tanpa batas masa.

Katanya, sejak awal wabak Covid-19 berlaku, negara berdepan dengan cabaran memerangi virus dan waktu sama tular (berita palsu).

Penularan berita palsu ini juga satu sindrom dialami di seluruh dunia. Sebagai bukti Noor Hisham memetik kenyataan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus bahawa pihak dipertanggungjawabkan menangani Covid-19 bukan sekadar memerangi wabak, malah turut memerangi infodemik berkaitan virus ini.

Malahan kedua-dua isu berlaku perlu ditangani serentak.

Begitupun dalam tempoh enam bulan ini juga perlahan-lahan situasi mula berubah apabila media sosial tidak lagi menjadi medan perkongsian berita palsu sebaliknya ia digunakan untuk membantu pihak berkuasa menangani pandemik Covid-19.

Kematangan dalam berkongsi dan menilai berita disebarkan membabitkan Covid-19 ini juga turut menimbulkan satu budaya baharu dalam penggunaan media sosial bagi menunjukkan keprihatinan umum.

Perkongsian di laman sosial membabitkan Covid-19 kini lebih banyak berkisar kesedaran sebahagian besar daripada kita untuk terus melaksanakan langkah-langkah mengelak daripada dijangkiti wabak.

Mungkin ada yang berpandangan sinis apabila ada yang cuba tular dan berkongsi rakaman video pengunjung di tempat tumpuan tidak menjaga jarak, tidak memakai topeng muka atau tidak bersikap sensitif untuk sama-sama menjaga penularan wabak.

Begitupun pastinya tindakan itu dilakukan atas rasa tanggungjawab terhadap diri dan juga orang lain. Kita Jaga Kita.

Penulis pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM)

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat