Cyberjaya – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa hak peneroka FELDA mesti dikembalikan sepenuhnya kepada golongan yang selama ini menjadi tulang belakang pembangunan tanah rancangan itu.
Berucap di hadapan ribuan warga peneroka dalam Majlis Apresiasi Warga Peneroka FELDA yang berlangsung di MITEC, Zahid berkata, kerajaan komited untuk menamatkan ketidaktentuan yang sekian lama menyelubungi isu pemilikan tanah, keuntungan koperasi, hutang serta kebajikan generasi kedua dan seterusnya.
“Saya amat menghargai hasrat saya dan hak Peneroka FELDA mesti dikembalikan sepenuhnya kepada Peneroka FELDA,” tegas beliau sambil menerima sorakan gemuruh hadirin.
Menurut beliau, pengembalian pemilikan saham FGV kepada FELDA sejak tiga bulan lalu mesti disusuli dengan langkah mengembalikan manfaat ekonomi secara langsung kepada para peneroka.
“Tanah ini, hasil ini adalah daripada keringat para peneroka. Bagaimana dengan koperasi? Saya berhasrat… koperasi mesti diubah semula supaya keuntungan kembali kepada para peneroka,” katanya lagi.
Zahid turut menyentuh isu pemilikan tanah dan geran (GSA) yang masih belum diselesaikan sepenuhnya sejak penubuhan FELDA hampir tujuh dekad lalu.
“Bagaimana pemilikan tanah? Bagaimana GSA? Kita berhasrat dan kita meminta supaya pengurusan FELDA laksanakan janji itu. Hak milik peneroka mesti diberikan,” tegasnya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyatakan bahawa perjuangan beliau bukanlah atas dasar kepentingan politik atau peribadi, sebaliknya atas dasar tanggungjawab.
“Kepentingan saya adalah untuk melihat hak peneroka FELDA mesti dikembalikan kepada para peneroka,” katanya sambil menambah bahawa FELDA hari ini bukan lagi entiti biasa, tetapi telah berada “di persada dunia sebagai tanah rancangan paling berjaya”.
Antara isu lain yang dibangkitkan termasuk keperluan kemudahan 5G di semua 317 kawasan FELDA, keadaan sekolah yang daif, penambahan pusat TVET serta pembinaan lebih banyak Maahad Tahfiz untuk generasi muda FELDA.



