KUANTAN – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan bahawa siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir telah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selewat-lewatnya minggu depan untuk tindakan lanjut.
Zara Qairina, 13 tahun, merupakan pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah yang ditemui parah di bawah bangunan asrama sekolah pada 16 Julai lalu, kira-kira jam 3 pagi, sebelum disahkan meninggal dunia.
Menurut Saifuddin, siasatan menyeluruh telah dilakukan pihak polis melibatkan seramai 60 saksi, termasuk tiga individu yang disebut dalam laporan terdahulu sebagai ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’, dan ‘Tomboi’.
“Siasatan polis dah selesai, kita panggil hampir 60 saksi dan saya ingat paling lewat minggu depan polis akan serahkan kepada AGC untuk (tindakan) selanjutnya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Maritim Malaysia, hari ini.
Jelas beliau, fokus utama pihak polis ialah menjalankan siasatan mengikut skop undang-undang yang ditetapkan.
“Ingat ya, tugas polis tugas siasatan… panggil saksi bagi membantu menyiapkan siasatan… untuk ‘established’ perkara yang penting…. mayat ada tak, motif, ada senjata tak, itu semua skop siasatan polis.
Baca Juga :
“Jika sekiranya AGC berpuas hati atau sebaliknya (hasil siasatan), itu terpulang kepada pihak AGC,” tambahnya.
Sementara itu, si ibu kepada mendiang Zara, Noraidah Lamat, 45, dilaporkan telah melantik dua peguam untuk menguruskan proses penggalian semula kubur anaknya bagi menjalankan bedah siasat, selepas mendakwa pengebumian awal dilakukan tanpa sebarang cadangan autopsi daripada mana-mana pihak.
Saifuddin mengulas perkara itu dengan menyatakan bahawa langkah yang diambil oleh ibu Zara adalah sah dari sudut undang-undang.
“Proses yang dilakukan bonda Zara Qairina ini adalah proses yang dibenarkan mengikut undang-undang dan seterusnya.
“Sehingga sekarang saya boleh sahkan siasatan (kes) ini sudah selesai,” katanya.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, turut mengesahkan bahawa 60 saksi telah dirakam keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan yang merangkumi aspek latar belakang sosial dan persekitaran mangsa.



