KUALA LUMPUR, – UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada nostalgia sejarah semata-mata, sebaliknya perlu berani melakukan perubahan besar bagi memastikan parti itu terus relevan menuju usia 100 tahun.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, realiti politik semasa menunjukkan UMNO kini tidak berada dalam zon selesa apabila landskap politik, generasi pengundi dan cara berpolitik sudah berubah.
Menurut beliau, sekiranya UMNO masih menggunakan pendekatan lama untuk berdepan cabaran baharu, parti itu sebenarnya sedang menempah kegagalan.
“Kita harus jujur. UMNO hari ini bukan berada dalam zon selesa.
“Landskap politik telah berubah. Generasi pengundi telah berubah. Cara berpolitik juga sudah berubah.
“Jika kita masih menggunakan pendekatan dan sikap yang lama untuk menghadapi cabaran baharu, maka kita bersedia menempah kegagalan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur hari ini.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, fokus utama UMNO dalam tempoh terdekat adalah memulihkan semula kepercayaan rakyat, memperkukuh jentera akar umbi serta menguasai naratif baharu khususnya dalam media sosial dan medan digital.
Katanya, UMNO tidak boleh terus dilihat sebagai parti yang bergelut dengan konflik dalaman, sebaliknya mesti tampil sebagai parti yang stabil, matang dan mampu mentadbir dengan baik.
“Persepsi lebih laju daripada fakta. UMNO mesti menguasai medan komunikasi, media sosial, digital dan naratif anak muda.
“Kalau kita gagal menguasai naratif, kita akan terus dipersepsikan oleh lawan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, UMNO mesti menjadi parti masa depan dengan membawa idea baharu berkaitan ekonomi, pekerjaan generasi muda, teknologi, pendidikan dan peluang hidup yang lebih baik.
Menurut Wan Rosdy, UMNO juga mesti berani membuka ruang kepada generasi baharu bukan sekadar dengan memberi tempat, tetapi memberi kepercayaan kepada mereka.
“Jika tidak, kita akan kehilangan satu generasi pengundi,” katanya.
Dalam ucapan sama, beliau berkata konsep “Rumah Bangsa” yang digagaskan kepimpinan UMNO perlu diterjemahkan secara menyeluruh di semua peringkat, termasuk di cawangan, bahagian, kampung dan bandar.
Katanya, UMNO perlu menyantuni mereka yang sedang berjauh hati dengan parti, sama ada ahli biasa atau bekas pemimpin, agar mereka kembali melihat parti itu sebagai rumah perjuangan bersama



