KUALA LUMPUR, – Kemajuan dan pertumbuhan ekonomi tidak boleh menyebabkan orang Melayu terpinggir atau hanya menjadi pemilik kecil dalam kek ekonomi yang besar, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, penyertaan dan kelangsungan orang Melayu mesti diambil kira dalam setiap perancangan pembangunan masa depan, khususnya dalam kawasan pertumbuhan baharu yang mempunyai nilai ekonomi tinggi.
Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri Pahang yang diterajui UMNO telah memutuskan kawasan dalam radius 15 kilometer di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menjadi pusat pertumbuhan baharu negeri diberi keutamaan kepada orang Melayu.
Katanya, keutamaan itu melibatkan pembangunan ruang perniagaan, industri, perumahan dan kemudahan lain bagi memastikan orang Melayu tidak tertinggal dalam arus pembangunan.
“Kemajuan dan pertumbuhan ekonomi tidak boleh mengorbankan kepentingan orang Melayu, menjadikan Melayu bangsa terpinggir, dan hanya memiliki pemilikan kecil dalam kek ekonomi yang besar.
“Kita tidak mahu berulangnya cerita seperti mana pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru dahulu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur hari ini.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, dasar tersebut bertujuan memastikan orang Melayu tidak lagi berniaga di pinggir bandar atau menjadi warga kelas kedua di negeri sendiri.
“Usaha ini bagi memastikan orang Melayu tidak lagi tertinggal dan berniaga di pinggir-pinggir bandar dan menjadi warga kelas kedua di negerinya sendiri,” katanya.
Dalam ucapan itu, beliau turut menonjolkan pencapaian ekonomi Pahang yang disifatkan sebagai bukti kemampuan UMNO mentadbir dengan stabil dan progresif.
Menurutnya, Pahang mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.7 peratus, mengatasi kadar nasional 5.1 peratus, dengan nilai ekonomi negeri berjumlah RM68.7 bilion.
Beliau berkata, Pahang turut menarik pelaburan komited berjumlah RM18.04 bilion tahun lalu, selain kutipan hasil negeri melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut sejak 2022.
Katanya, hasil negeri itu dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan di bawah Inisiatif Makmur Pahang, termasuk bantuan makanan, Baucar Negeri dan program bantuan rakyat lain.
Wan Rosdy berkata, pencapaian Pahang bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kepimpinan yang stabil, dasar jelas serta komitmen kerajaan negeri dan UMNO



