Memandang 20 Tahun Ke Hadapan, Perkukuh Langkah Menuju 100 Tahun — Presiden UMNO

KUALA LUMPUR,— Presiden Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO perlu mengubah pendekatan daripada hanya berfikir dalam kerangka pilihan raya kepada perancangan jangka panjang demi memastikan kelangsungan parti sehingga mencapai usia 100 tahun.

Berucap dalam Amanat 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, WTCKL, beliau berkata selepas melalui pelbagai krisis dan anjakan sepanjang lapan dekad, parti itu kini perlu memberi tumpuan kepada masa depan yang lebih tersusun dan strategik.

Menurutnya, UMNO tidak boleh lagi berfikir sekadar lima tahun atau satu kitaran pilihan raya, sebaliknya perlu merangka hala tuju sehingga dua dekad akan datang sebagai persediaan menuju usia satu abad.

“Setelah kita menelusuri perjalanan panjang daripada krisis ke krisis, daripada anjakan ke anjakan, kita mesti memandang ke hadapan dan memperkukuhkan langkah,” katanya.

Zahid menjelaskan, pendekatan jangka panjang itu penting bagi memastikan UMNO bukan sahaja kekal relevan, tetapi mampu terus menjadi tunjang kepada kestabilan politik serta pembelaan terhadap agama, bangsa dan negara.

Tambah beliau, kekuatan masa depan UMNO bergantung kepada sejauh mana parti itu mampu membina asas yang kukuh hari ini, termasuk melahirkan generasi baharu yang berdaya saing dan berjiwa besar.

Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh ahli parti untuk bersatu dan meninggalkan kelemahan lampau, agar UMNO dapat melangkah ke hadapan dengan lebih yakin.

Katanya, ulang tahun ke-80 ini bukan sekadar memperingati sejarah, tetapi perlu dijadikan titik permulaan kepada fasa baharu perjuangan menuju 100 tahun UMNO.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat